harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Masalah pengguna jalan raya melanggar lampu isyarat merah terus menjadi satu isu yang dipandang serius Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, kesalahan tidak patuh lampu isyarat dalam kalangan orang awam sentiasa berlaku justeru pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang.
“Kesalahan terutama melanggar lampu isyarat merah dan sebagainya memang masih berlaku, sentiasa berlaku, jadi saya ingatkan orang ramai supaya patuhi peraturan jalan raya.
“Ini kerana JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa menguatkuasakan undang-undang dan menjalankan rondaan serta operasi berkala,” katanya ketika ditemui di Balai Berita Bangsar di sini, hari ini.
Menurutnya, setiap peraturan yang ditetapkan dan operasi dijalankan adalah bagi menjamin keselesaan serta keselamatan semua pengguna jalan raya.
Mengulas mengenai diskaun saman Aedy menegaskan tiada lagi diskaun saman diberikan kepada pesalah trafik seperti yang diumumkan pada tahun lalu.
Bagaimanapun katanya, mana-mana individu yang menerima saman kategori boleh kompaun dinasihatkan segera membuat pembayaran dalam tempoh satu ke 15 hari bagi mendapatkan harga lebih rendah.
Katanya, jumlah saman akan semakin meningkat sekiranya lambat membayar saman namun saman kategori tidak boleh kompaun (NC) perlu diselesaikan di mahkamah.
© New Straits Times Press (M) Bhd






