Eksplorasi malam Mr Adem tarik minat anak muda sayangi sejarah

Eksplorasi malam Mr Adem tarik minat anak muda sayangi sejarah


syazrina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bermula sebagai pencipta kandungan eksplorasi misteri, seorang pemuda kini mengalih fokus kepada kajian sejarah untuk mengangkat semula kisah yang hampir dilupakan melalui pembabitannya bersama Galeri Sejarah Johor.

Mohamad Adan Moideen, 32, yang dikenali sebagai Mr Adem berkata, Galeri Sejarah Johor beroperasi sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) tanpa dana rasmi dengan artifak dipamerkan hasil pencarian dan pembelian sendiri daripada pengumpul untuk tatapan orang awam.

Menurutnya, galeri itu tidak mengenakan tiket masuk, sebaliknya menggunakan sistem tabung sebagai simbol kepercayaan kepada kesedaran masyarakat terhadap nilai sejarah.

Menurutnya, usaha itu turut diperluaskan melalui dokumentari dan konsep muzium bergerak yang membawa orang ramai menerokai bangunan tinggal, pusara lama, kubur British serta terowong sejarah yang jarang diketahui umum.

“Kami cuba mengubah perspektif orang ramai supaya lebih menyayangi sejarah dengan menghasilkan dokumentari apabila pergi ke sesuatu tempat.

“Kami meneroka lokasi bersejarah seperti bangunan tinggal dan kubur British yang mungkin tidak pernah dilihat sebelum ini.

“Kami sedar sejarah agak sukar untuk diubah, tetapi apa yang kami mahu adalah sejarah ini diangkat semula dan dikenali,” katanya dalam Podcast Apa-Apa Saja Harian Metro.

Menurutnya, Galeri Sejarah Johor juga bergerak bersama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan negeri dan daerah bagi memastikan sejarah tempatan terus mendapat perhatian.

Mengulas mengenai pencapaian yang dibanggakan, dia mengakui pencapaian terbesar apabila semakin ramai anak muda mula menyertai eksplorasi sejarah yang dianjurkan oleh galeri itu.

Katanya, golongan muda yang dahulunya terlibat dengan aktiviti tidak berfaedah kini mula mendekati sejarah dan warisan melalui aktiviti penerokaan.

Dalam masa sama, katanya, perjuangan itu turut berdepan cabaran apabila kumpulannya pernah mengalami gangguan fizikal ketika meneroka gua sehingga memberi kesan berpanjangan.

“Antara cabaran yang pernah dialami termasuk gangguan teruk seperti gatal seluruh badan terhadap rakan kami sehingga mengambil masa tiga hingga empat bulan untuk pulih sepenuhnya.

“Untuk makluman, eksplorasi kami dibuat pada waktu malam kerana suasana pada waktu itu mampu mengubah perspektif orang ramai secara menyeluruh.

“Siang nampak lain, malam nampak lain dan perubahan itu menimbulkan rasa ingin tahu terhadap apa yang ada di sesebuah tempat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top