KTM perlu manfaatkan Pedro

KTM perlu manfaatkan Pedro

KTM perlu manfaatkan Pedro


Madrid: Bekas pelumba dan pelumba ujian KTM, Dani Pedrosa, menegaskan pasukan itu perlu “memanfaatkan sepenuhnya” kekentalan dan keazaman tinggi Pedro Acosta menjelang musim ketiga pelumba muda itu dalam saingan MotoGP bersama KTM pada 2026.

Pelumba Sepanyol itu menghabiskan keseluruhan karier grand prix di bawah payung KTM, bermula dalam Moto3 bersama jenama berkenaan pada 2021 sebelum muncul juara pada percubaan pertama.

Pedro seterusnya menjuarai Moto2 bersama pasukan Ajo yang disokong KTM pada 2023, sebelum naik ke MotoGP setahun kemudian bersama jentera Tech3 berjenama GASGAS.

Kini bergelar pelumba pasukan KTM, Pedro memasuki musim ketiganya dalam kelas perdana masih memburu kemenangan sulung.

Selepas musim pertama yang meyakinkan, KTM gagal melakukan lonjakan prestasi mencukupi untuk menyediakan pakej perlumbaan berupaya memburu kemenangan kepada Pedro pada 2025.

“Pedro sangat kuat dari segi mental, mempunyai sasaran jelas dan masih muda, dengan keazaman besar pada fasa ini dalam kariernya.

“Di KTM, kami perlu memanfaatkan semua kelebihan ini.

“Musim 2025 agak rumit untuk kami, termasuk faktor kewangan pasukan, namun keadaan kini semakin baik.

“Kami berharap dapat melangkah ke hadapan pada 2026 dan menggunakan kepantasan serta tenaganya untuk bersaing secara konsisten bagi podium dan beberapa kemenangan,” kata Pedrosa.

Dalam kedudukan pengeluar musim lalu, KTM dipintas Aprilia yang meraih empat kemenangan grand prix dan muncul sebagai ancaman lebih besar kepada dominasi Ducati.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top