hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Cubaan seorang lelaki memecah masuk sebuah premis perniagaan di Jalan Liku, Off Jalan Bangsar di sini gagal apabila polis tiba di lokasi ketika suspek masih berada di dalam kedai terbabit.
Dalam kejadian jam 11.30 pagi semalam, lelaki berusia 41 tahun itu dipercayai baharu menceroboh masuk ke premis berkenaan dan sedang menggeledah barangan.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chan Hook berkata, kejadian disedari selepas pengadu menerima panggilan daripada pekerja kontrak yang berada di kedai miliknya memaklumkan kehadiran seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
“Pengadu terus ke lokasi dan mendapati lelaki berkenaan berada di dalam premis tanpa kebenaran.
“Pengadu seterusnya menghubungi pihak polis dan sepasukan anggota digerakkan ke lokasi, beberapa minit kemudian, suspek berjaya ditahan di dalam premis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati satu unit alat kawalan jauh kunci pintu pagar dilaporkan hilang, manakala barangan lain belum dapat dipastikan.
“Hasil pemeriksaan di sekitar premis turut mendapati pintu bahagian tepi kedai mempunyai kesan umpil yang disyaki digunakan untuk menceroboh masuk,” katanya.
Hoo berkata, pemeriksaan badan ke atas suspek turut menemukan beberapa barangan disyaki berkaitan dengan kegiatan jenayah.
“Rampasan membabitkan sebilah parang, spanar boleh laras, pemutar skru serta satu unit anak kunci kenderaan bersama alat kawalan jauh.
“Semua barangan itu dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, suspek yang juga warga tempatan kini ditahan bagi membantu siasatan.
“Permohonan reman ke atas suspek akan dibuat pada Rabu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd





