mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sudah dan sedang mengambil tindakan susulan, di mana 41 pegawai dikenakan tindakan tatatertib dan 20 orang dibuang kerja kerana didapati terbabit dalam kes berkaitan pasport terbang dalam tempoh empat tahun ini.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, JIM mengambil maklum kenyataan media yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Isnin lalu berhubung laporan siasatan berkaitan dakwaan aktiviti pasport terbang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.
Menurutnya, JIM menghormati peranan dan fungsi EAIC sebagai badan pemantau integriti agensi penguatkuasaan, serta memandang serius setiap dapatan dan syor yang dikemukakan.
“Sehubungan itu, JIM sudah dan sedang mengambil tindakan susulan selaras dengan peruntukan undang-undang, peraturan perkhidmatan awam dan mekanisme tatatertib yang berkuat kuasa.
“Berhubung kes yang dilaporkan, JIM mengesahkan bahawa tindakan tatatertib sudah dilaksanakan terhadap pegawai terbabit selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, langkah ini mencerminkan pendirian tegas jabatan bahawa sebarang salah laku, khususnya yang membabitkan integriti dan kepercayaan awam, tidak akan dikompromi.
“Sebagai gambaran komitmen berterusan JIM dalam menangani isu ini, bagi tempoh 2022 hingga 2025, 41 orang pegawai dikenakan tindakan tatatertib kerana didapati terbabit dalam kes berkaitan pasport terbang.
“Daripada jumlah itu, 20 orang pegawai dijatuhkan hukuman buang kerja selepas disabitkan dengan kesalahan. Tindakan ini diambil hasil siasatan dalaman yang telus dan berlandaskan peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Zakaria berkata, selain itu, JIM menegaskan bahawa setiap kes yang dirujuk oleh EAIC akan diteliti secara menyeluruh dan ditangani dengan serius tanpa sebarang kompromi.
“Bagi tahun 2025, 61 kes dirujuk oleh EAIC dan kesemua kes terbabit dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Aduan dan diambil tindakan selaras dengan proses serta peruntukan tatatertib yang berkuat kuasa.
“Pendekatan ini mencerminkan komitmen berterusan JIM terhadap prinsip akauntabiliti, integriti dan tadbir urus yang baik,” katanya.
Katanya, JIM akan terus memperkukuh pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP), meningkatkan pemantauan dalaman serta melaksanakan langkah penambahbaikan secara berterusan bagi memastikan perkhidmatan imigresen dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan selari dengan peraturan yang ditetapkan, demi memelihara kepercayaan rakyat dan kepentingan negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd






