suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Putrajaya: Seramai 31 pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rahsuah Malaysia (SPRM) ditauliahkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sebagai pengendali ujian saringan awal dadah bagi memperkukuh tahap integriti dan profesionalisme.
Pengarah Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme (BCP) SPRM, Syed Mohd Termizi Syed Musa berkata, pentauliahan itu melengkapkan SPRM dengan pegawai terlatih yang mampu melaksanakan ujian saringan air kencing secara mandiri, profesional serta mendapat pengiktirafan.
“Inisiatif ini menghantar mesej jelas bahawa SPRM tidak berkompromi terhadap penggunaan dadah serta sebarang pelanggaran integriti dalam kalangan pegawainya.
“Pegawai yang ditauliahkan akan digerakkan untuk melaksanakan ujian saringan secara berkala dan mengejut di bahagian serta pejabat negeri tanpa sebarang kompromi atau pilih kasih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pentauliahan Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD): Pentauliahan Pengendalian Ujian Saringan Awal Air Kencing Pegawai SPRM Tahun 2025 di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.
Beliau berkata, penekanan terhadap pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) amat penting bagi menjamin ketulenan dan kesahihan bukti, terutama jika hasil saringan digunakan dalam tindakan tatatertib atau proses perundangan.
“Program ini merupakan langkah proaktif SPRM dalam menangani risiko penyalahgunaan dadah yang berpotensi mendorong kepada jenayah rasuah, selaras dengan peranan SPRM sebagai agensi utama pencegahan rasuah negara,” katanya.
Untuk rekod, pada majlis berkenaan, Sijil Pencapaian Ujian Kompetensi Latihan untuk Penyelia TEKAD disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Zainudin Abdullah dan disaksikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Indera Junipah Wandi.
© New Straits Times Press (M) Bhd





