PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) kini perlu membuat pilihan bijak bagi mengelakkan risiko dikenakan tindakan penggantungan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John berkata, badan induk bola sepak negara itu mempunyai dua opsyen utama dalam menentukan hala tuju urus tadbir mereka demi menyelamatkan ekosistem bola sepak tempatan.
Menurutnya, keputusan kini terletak sepenuhnya di tangan Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM sama ada mahu mengambil risiko berdepan tindakan drastik FIFA atau memilih laluan pembaharuan dengan bantuan AFC.
“Mungkin ini satu topik yang akan dibincangkan Exco FAM kerana keputusan di tangan mereka jika ingin mengambil risiko penggantungan FIFA.
“Sekiranya berlaku penggantungan, satu jawatankuasa normalisasi akan ditubuhkan bagi tindakan lanjut. Namun, FAM juga boleh bertindak lebih awal dengan membuat perhitungan strategik supaya ekosistem bola sepak Malaysia tidak terjejas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kemelut yang melanda badan induk itu dan risiko campur tangan FIFA.
Mengulas lanjut, Windsor memberitahu, pilihan terbaik bagi FAM untuk mengelakkan senario buruk tersebut adalah dengan mengambil langkah proaktif memohon bantuan AFC bagi melaksanakan reformasi urus tadbir.
Jelasnya, pendekatan itu lebih selamat bagi memastikan sebarang kelemahan dalam pentadbiran dapat diperbaiki tanpa perlu melalui fasa penggantungan yang merugikan.
“Jadi untuk tidak melalui satu proses penggantungan, FAM mungkin mengambil satu keputusan strategik dengan meminta bantuan daripada AFC supaya satu pembaharuan dapat dijalankan.
“Ini bermaksud memperbaiki urus tadbir FAM jika terdapat apa-apa kelemahan sekarang.
“Jika diminta, memang kita bersedia untuk membantu sebab kita pernah membuat perkara seperti ini dengan persatuan lain,” ujarnya.
Dalam pada itu, Windsor turut mengesahkan bahawa FAM sebenarnya sudah pun memanjangkan permohonan kepada AFC untuk mendapatkan bantuan sekiranya keputusan untuk melaksanakan reformasi dibuat.
Katanya, AFC sentiasa terbuka untuk menghantar konsultan dan kakitangan berpengalaman bagi melakukan audit pengurusan serta penilaian yang diperlukan.
“FAM memang ada minta dan AFC sudah pun memaklumkan bahawa kami sentiasa bersedia membantu FAM dalam melakukan audit pengurusan dan penilaian untuk memperbaiki urus tadbir.
“Ini adalah langkah sementara. Kita akan hantar konsultan dan kakitangan AFC seperti yang pernah dilakukan di Iraq, Syria, Pakistan, India dan banyak lagi negara lain,” katanya.
Tambahnya lagi, perbincangan seumpama itu adalah prosedur biasa dan pendekatan proaktif AFC terhadap mana-mana persatuan di bawah naungannya yang memerlukan bantuan teknikal mahupun pentadbiran.
Ringkasan AI
- FAM perlu membuat keputusan bijak untuk elak tindakan penggantungan oleh FIFA
- FAM mempunyai dua pilihan utama, mengambil risiko atau memilih laluan pembaharuan dengan bantuan AFC
- Pilihan terbaik untuk FAM adalah mengambil langkah proaktif memohon bantuan AFC untuk reformasi urus
- AFC bersedia membantu FAM dalam melakukan audit pengurusan dan penilaian untuk memperbaiki urus tadbir
- FAM sudah memanjangkan permohonan kepada AFC untuk mendapatkan bantuan bagi melaksanakan reformasi






