Madrid: Real Madrid kembali menemui rentak minggu ini dengan Vinicius Junior tampil sebagai watak utama, dan pemain sayap Brazil itu kini bertekad mengesahkan kebangkitan dirinya serta pasukan apabila berdepan Villarreal dalam saingan La Liga, Ahad ini.
Real yang menghuni tangga kedua berpeluang merampas kedudukan teratas liga sekiranya meraih kemenangan, sebelum pendahulu Barcelona menerima kunjungan Real Oviedo.
Villarreal kendalian Marcelino Garcia Toral kini di tempat ketiga, ketinggalan tujuh mata di belakang Real dan lapan mata daripada Barcelona, dengan kekalahan bakal hampir menamatkan impian mereka memburu kejuaraan liga pertama dalam sejarah kelab.
Kemenangan besar 6-1 ke atas Monaco dalam Liga Juara-Juara, sedikit meredakan tekanan di ibu kota Sepanyol serta memberi kelegaan awal kepada ketua jurulatih baharu, Alvaro Arbeloa.
Ia menjadi gambaran pertama hala tuju Arbeloa selepas debutnya dibayangi kekalahan mengecewakan kepada Albacete dalam Piala Raja Sepanyol, hanya dua hari selepas pemergian Xabi Alonso.
Kemenangan liga ke atas Levante hujung minggu lalu pula tercemar dengan bantahan besar penyokong di Santiago Bernabeu, namun sokongan penuh kembali diberikan ketika menentang Monaco dan Real mempamerkan aksi terbaik mereka musim ini.
Vinicius khususnya tampil luar biasa.
Selepas melalui 16 perlawanan tanpa jaringan, dia kini menjaringkan dua gol dalam empat aksi terakhir, termasuk satu gol solo menarik menentang Monaco selain terbabit dalam tiga lagi jaringan pasukan.
Rakan sepasukan, Jude Bellingham, berkata Vinicius lebih menyerlah apabila mendapat sokongan padu penyokong.
“Saya rasa dia pemain yang berkembang apabila diberi kasih sayang. Permainannya melonjak dan menjadi lebih menyeronokkan untuk ditonton serta digandingkan,” katanya.
Vinicius turut mengakui sokongan penyokong amat penting buat dirinya.
“Kami perlu teruskan perjuangan dengan sokongan penyokong supaya semuanya kembali normal. Jika kami bersatu, kami mampu capai perkara besar musim ini,” katanya.
Pemain berusia 25 tahun itu berlari memeluk Arbeloa selepas menjaringkan gol, sebagai tanda penghargaan selepas jurulatih Sepanyol itu mempertahankannya secara terbuka sepanjang minggu lalu.
“Saya lihat penyokong benar-benar memberi sokongan penuh kepada Vinicius. Dia perlukan kasih sayang kerana dia pemain yang emosional,” kata Arbeloa.
Vinicius, naib juara Ballon d’Or 2024, bergelut dengan prestasi konsisten sejak kebelakangan ini, selain terbabit dalam rundingan lanjutan kontrak yang dijadual tamat pada musim panas 2027.
Bagaimanapun, laporan media Sepanyol menyatakan rundingan itu kini menunjukkan perkembangan positif.
Arbeloa sejak awal kepimpinannya menegaskan Vinicius yang gembira akan melahirkan Real yang lebih kuat, dengan kedua-dua pihak berharap momentum positif itu berterusan di Estadio de la Ceramica.
© New Straits Times Press (M) Bhd






