Kadar sewa maksimum tapak Bazar Ramadan 2026 di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diturunkan kepada RM400 iaitu pengurangan RM100 berbanding RM500 pada tahun lalu bagi meringankan kos peniaga kecil.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata bagi memastikan keadilan kepada semua peniaga, kadar caj yang sama turut diwajibkan ke atas persatuan peniaga supaya tiada beban kewangan tidak munasabah dikenakan.
“Kerajaan MADANI menegaskan bahawa sebarang amalan sublet, jual beli tapak atau pengambilan untung berlebihan adalah dilarang sama sekali.
“Tindakan penguatkuasaan akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pelanggaran termasuk yang melibatkan penganjur,” katanya dalam kenyataan.
Penganjuran tahun ini melibatkan 41 lokasi petak niaga. Sebanyak 9 lokasi petak niaga berada di bawah seliaan DBKL manakala 32 lokasi petak dikendalikan oleh persatuan penjaja.
Tiga persatuan utama yang terlibat ialah Pertubuhan Pasar Malam Kuala Lumpur (PMKL), Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP) serta Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPPBWPKL) bagi memastikan penglibatan menyeluruh penjaja di peringkat akar umbi serta pemantauan penganjuran yang lebih jelas.

Menurut Hannah, kerajaan melaksanakan penambahbaikan menyeluruh terhadap penganjuran Bazar Ramadan 2026 selaras dengan komitmen memperkukuh tadbir urus, melindungi kebajikan peniaga kecil serta menjaga kepentingan awam.
“Penganjuran bazar tahun ini berteraskan prinsip tersusun, telus, berintegriti dan adil melalui pengurusan yang jelas melibatkan kawal selia pihak berkuasa tempatan, penglibatan komuniti peniaga serta keutamaan kepada keselesaan pengguna,” katanya.
Beliau berkata, bagi tahun 2026, DBKL meneruskan pelaksanaan model pengurusan hibrid dengan mengekalkan peranannya sebagai pihak bertanggungjawab terhadap kawal selia, pelesenan dan penguatkuasaan manakala persatuan peniaga mengurus operasi harian tapak bazar.
“Pendekatan ini dibentuk hasil penilaian pelaksanaan lalu, dapatan post-mortem operasi serta libat urus bersama pihak berkepentingan bagi menutup kelemahan sedia ada dan memperkemas peranan setiap pihak,” katanya.
Dalam pada itu, hasil post-mortem pelaksanaan terdahulu mendapati permohonan secara terbuka dan penawaran petak melalui proses undian telah menyebabkan peralihan hak peniaga berlesen sedia ada di beberapa lokasi bazar selain mencetuskan ketidakpuasan hati dalam kalangan persatuan peniaga kerana tidak dapat membantu ahli yang telah lama berniaga di tapak berkenaan.






