Tiada tanah diberi sebagai pampasan, NRES perjelas isu sempadan Sabah-Kalimantan

Tiada tanah diberi sebagai pampasan, NRES perjelas isu sempadan Sabah-Kalimantan


suzalina@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menjelaskan pemuktamadan pengukuran sempadan darat membabitkan tiga kampung di Kalimantan Utara, Indonesia, dibuat melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara dua negara pada 18 Februari 2025.

Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata setiap inci pelarasan dibuat berdasarkan undang-undang antarabangsa serta koordinat geospatial yang tepat dan bukannya atas dasar konsesi politik.

Beliau berkata, pemeteraian MoU itu dibuat selepas Malaysia dan Indonesia melalui proses perundingan teknikal yang komprehensif dan telus selama lebih 45 tahun.

“Rundingan untuk penandaan dan pengukuran di kawasan masalah sempadan tertunggak (OBP) dilaksanakan secara harmoni di antara kedua-dua negara dan tidak bersandarkan kepada prinsip timbal balik, pampasan atau untung-rugi.

“Hasrat Malaysia dan Indonesia untuk menyegerakan penyelesaian isu sempadan darat bagi sektor Sabah-Kalimantan Utara (KALTARA) dipersetujui semasa lawatan negara mantan Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo ke Malaysia pada 8 Jun 2023.

“Proses rundingan turut membabitkan pembabitan aktif wakil kerajaan Negeri Sabah sebagai sebahagian delegasi Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan peta sempadan antara Indonesia dan Malaysia mengalami perubahan signifikan susulan penyelesaian OBP yang menyaksikan tiga buah kampung terletak di Kabupaten Nunukan, Kalimantan Utara, kini secara rasmi berada di dalam wilayah kedaulatan Malaysia.

Pada masa sama, Arthur menegaskan laporan media menyatakan ‘Malaysia memberikan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan untuk tiga kampung kawasan Nunukan,berdekatan sempadan Sabah-Kalimantan’ adalah tidak tepat.

Beliau berkata, melalui persetujuan kedua-dua negara, satu pengukuran saintifik dilaksanakan berdasarkan perjanjian yang ditandatangani terdahulu bagi menentukan jajaran sempadan yang jelas.

Katanya, keputusan itu dicapai melalui proses teknikal yang panjang membabitkan pakar daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) serta agensi keselamatan.

Arthur berkata, setiap inci pelarasan dibuat berdasarkan undang-undang antarabangsa iaitu BoundaryConvention 1891, Boundary Agreement 1915, Boundary Convention 1928 serta koordinat geospatial yang tepat.

“Keuntungan jangka panjang kedaulatan negara adalah lebih strategik bagi Malaysia untuk memiliki sempadan yang diiktiraf sepenuhnya oleh negara jiran dan masyarakat antarabangsa.

“Pengiktirafan ini lebih signifikan berbanding daripada mengekalkan kawasan pertikaian yang tidak mempunyai keabsahan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, penetapan sempadan yang muktamad akan memperkukuhkan kedudukan perundangan negara di peringkat antarabangsa serta menutup ruang untuk sebarang tuntutan wilayah yang lebih besar pada masa hadapan.

Katanya, kedua-dua negara juga mengambil pendekatan diplomasi melalui rundingan secara berterusan bagi menyelesaikan sebarang isu dan pertikaian di kawasan OBP.

“Ia dibuat berlandaskan semangat muhibah dan setiakawan, sekali gus memastikan keharmonian serta mengelakkan sebarang konflik di lapangan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top