Maranello: Lewis Hamilton mengakui dia dan pelumba lain berdepan ‘cabaran besar’ pada musim ini susulan era peraturan baharu Formula Satu (F1), selepas Ferrari menjalankan ujian pertama jentera SF-26.
Musim lalu adalah tahun pertama juara dunia tujuh kali itu bersama pasukan tertua dan paling berprestij F1, namun buat kali pertama dalam kariernya, pelumba paling berjaya sukan itu gagal menaiki podium.
Rakan sepasukan, Charles Leclerc turut mengatasi Hamilton dengan kelebihan 86 mata.
Kini berusia 41 tahun, Hamilton memerlukan Ferrari kembali ke prestasi terbaik selepas musim 2025 tanpa kemenangan, dengan pengenalan enjin baharu dan rombakan teknikal terbesar dalam beberapa dekad memaksa pelumba menyesuaikan diri cara perlumbaan berbeza.
“Ini perubahan peraturan paling besar yang pernah saya lihat dalam F1, sekurang-kurangnya sepanjang saya berada dalam sukan ini,”
“Setiap kali berlaku peralihan peraturan baharu, ia sentiasa menjadi cabaran besar. Semua bermula dari kosong, jadi ia benar-benar meratakan persaingan,” katanya dalam temu bual yang dikeluarkan Ferrari selepas dia melengkapkan beberapa pusingan di litar ujian Fiorano pada pagi berkabus, sambil disaksikan peminat dari jambatan berhampiran.
Hamilton berkata, Ferrari berupaya membangunkan jentera dengan lebih pantas, mencipta idea baharu dan bersaing setara dengan pencabar, dengan peranan pelumba menjadi faktor penting.
“Sebagai pelumba, kami perlu menyesuaikan diri… ia akan menjadi cabaran besar buat setiap pelumba, terutama untuk menyesuaikan diri dengan unit kuasa.
“Ini adalah tempoh di mana anda perlu menjadi pelumba paling efisien pernah anda jadi, menggunakan semua ‘senjata’ yang ada, menjimatkan bahan api, mengecas semula kuasa, memanfaatkan kuasa, menggunakan cengkaman dan menggabungkan semua elemen ini,” katanya.
Kebanyakan jentera baharu dijangka turun ke litar bersama buat kali pertama di Barcelona minggu depan, dengan setiap pasukan memilih tiga hari ujian daripada lima yang disediakan.
Ketua pasukan Ferrari, Fred Vasseur berkata, pasukannya akan menjalani ujian pada Selasa dan Khamis, manakala satu lagi hari masih belum ditentukan.
Jentera yang lebih kecil dan ringan itu turut menandakan kembalinya kemasan cat berkilat selepas tujuh musim menggunakan warna matte, dengan merah lebih cerah dan garang serta kawasan putih yang lebih besar di sekitar kokpit dan penutup enjin.
Ferrari masih belum memenangi kejuaraan sejak 2008, dengan Kimi Raikkonen pada 2007 kekal sebagai juara dunia pelumba terakhir mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd






