khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ketetapan supaya keahlian tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perlis terhenti adalah keputusan PAS Pusat dan bukannya arahan peribadi Presiden Tan Sri Abdul Hadi Awang seperti cuba digambarkan sebuah portal.
Penolong Setiausaha Agung PAS Pusat, Syahir Sulaiman berkata, Fasal 15A Perlembagaan PAS (Pindaan 2025) berkaitan Keberhentian Ahli Badan Perundangan PAS telah diluluskan oleh muktamar parti dengan sokongan sebulan suara.
“Ketetapan ini adalah keputusan muktamar, selaku badan tertinggi parti.
“PAS Pusat hanya melaksanakan keputusan tersebut bagi memenuhi mandat dan hasrat akar umbi parti, mengambil kira betapa seriusnya pelanggaran ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas laporan portal yang memetik Mursyidul Am PAS Datuk Hashim Jasin sebagai menyatakan masih terdapat kemungkinan jalan penyelesaian berhubung kedudukan tiga ADUN PAS di Perlis diberhentikan pada 24 Disember lalu, memandangkan keputusan berkenaan masih tertakluk kepada pertimbangan Majlis Syura parti itu.
Hashim dilapor berkata, segala ketetapan yang dibuat oleh Abdul Hadi berhubung kedudukan tiga ADUN itu belum muktamad sepenuhnya kerana kuasa akhir terletak di tangan Majlis Syura.
Katanya, usaha mencari penyelesaian terhadap isu itu sedang giat dijalankan dan diyakini dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Mengulas lanjut, Syahir berkata, keputusan PAS Pusat yang dibuat pada 24 Disember 2025 mengenai keahlian tiga bekas ADUN di Perlis adalah berdasarkan kepada perakuan dan pengakuan yang telah diberikan sendiri oleh mereka kepada Jawatankuasa Harian PAS Pusat dalam mesyuarat diadakan di pejabat parti pada 21 Disember tahun lalu.
Ahli Parlimen Bachok itu dalam masa sama turut menyatakan hubungan membabitkan Abdul Hadi, Hashim, seluruh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat serta Ahli Majlis Syura Ulama’ sentiasa terpelihara dan kekal utuh.
© New Straits Times Press (M) Bhd






