Kmy Kmo, Luca Sickta Lancarkan Single ‘Kertas Wangi’

Kmy Kmo, Luca Sickta Lancarkan Single ‘Kertas Wangi’


Duo rap Kmy Kmo dan Luca Sickta terus konsisten mengangkat adat serta warisan budaya dalam karya apabila tampil dengan single terbaharu berjudul Kertas Wangi.

Selari dengan perjuangan seni yang dibawa, majlis pelancaran single dan sidang media Kertas Wangi yang berlangsung hari ini diadakan di bangunan warisan ikonik Pasar Seni (Central Market), lokasi yang sering dikaitkan sebagai antara simbol seni dan budaya di Malaysia.

Majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan plak single Kertas Wangi daripada Pengarah Urusan Sony Music Entertainment Malaysia, Singapura, Vietnam dan Projek Khas Asia Tenggara, Kenny Ong kepada Kmy Kmo serta Luca Sickta.

Lebih mencuri tumpuan, acara berkenaan berlangsung serentak dengan Hari Kantin by Pasar Seni anjuran Pesta Kita yang diadakan selama tiga hari berturut-turut bermula 23 Januari hingga 25 Januari 2026.

Kertas Wangi mengangkat metafora wang sebagai gambaran dunia material, sekali gus menjadi refleksi tentang bagaimana manusia mudah terperangkap dengan tekanan hidup, obsesi penampilan serta godaan yang bersifat sementara.

Diterbitkan oleh Sony Music Entertainment Malaysia, lagu ini tampil sebagai karya rap moden yang sarat makna, namun masih mudah didekati menerusi susunan muzik kontemporari yang disusun rapi.

Lagu ini membawa mesej jelas tentang dunia yang sering memukau manusia dengan janji material.

Menurut Kmy Kmo, metafora Kertas Wangi menggambarkan bagaimana nilai wang kadang-kadang menutup nilai sebenar insan.

“Inspirasi lagu ini datang daripada apa yang saya lihat dalam kehidupan harian. Kita semua diuji dengan pelbagai cabaran dan tarikan dunia.

“Ada masanya kita tak sedar, bila terlalu berlumba gaya, tertekan dengan kehidupan dan mengejar material, hati dan nilai budi boleh jadi kabur. Kertas Wangi bagi saya ialah cerminan diri, untuk saya dan juga sesiapa yang mendengarnya,” katanya.

Luca Sickta pula menjelaskan, karya itu tidak terhad kepada pengalaman peribadi semata-mata, sebaliknya merangkum refleksi umum tentang perjalanan hidup yang penuh ujian.

“Lagu ini bukan sekadar kisah peribadi. Ia lebih kepada renungan tentang hidup yang banyak cabaran. Paling penting, jangan biarkan perkara material menguasai hati dan jiwa. Itu mesej yang saya mahu pendengar bawa balik,” katanya.

Bagi duo ini, Kertas Wangi bukan sekadar sebuah lagu, sebaliknya peringatan untuk kembali menilai diri, memahami nilai sebenar dan tidak terus terperangkap dalam dunia material.

Kmy Kmo berharap karya itu mampu membuat pendengar berhenti seketika dan memikirkan semula apa yang benar-benar penting dalam hidup.

“Saya harap lagu ini buka ruang untuk pendengar berhenti sekejap, tarik nafas dan fikir semula apa yang betul-betul penting dalam hidup. Kalau seorang sahaja pun rasa tersentuh dan terinspirasi untuk nilai diri semula, itu sudah cukup besar untuk kami,” katanya.

Luca turut mendedahkan mereka mempunyai beberapa projek baharu dalam perancangan, termasuk perancangan menghasilkan album penuh.

“Selepas ini ada beberapa projek baharu, dan kami juga sedang merancang untuk buat album penuh. Kertas Wangi ini baru permulaan untuk fasa seterusnya dalam perjalanan muzik kami,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top