khairil.ashraf@hmero.com.my
Foto Eizairi Shamsudin
Kuala Lumpur: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan sebanyak RM197 juta di bawah kluster pendidikan bagi tahun ini berbanding sebanyak RM120 juta tahun lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, peruntukan itu meliputi pemberian biasiswa penuh kepada mahasiswa yang melanjutkan pengajian mereka di institut pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara, selain bantuan ‘one-off’ kepada pelajar sekolah di Wilayah Persekutuan.
Katanya, bagi Skim Bantuan Biasiswa Insentif Khas Pelajar Cemerlang, seramai 169 orang mahasiswa dan pelajar sekolah daripada golongan asnaf menerimanya membabitkan jumlah sebanyak RM6.71 juta.
“Bantuan yang disediakan merangkumi pembiayaan yuran pengajian, makan minum serta keperluan pembelajaran termasuk pembiayaan penuh dan tiket penerbangan bagi pelajar yang melanjutkan pengajian ke luar negara.
“Daripada jumlah keseluruhan bantuan, MAIWP memperuntukkan RM5.63 juta kepada mahasiswa dalam negara, RM604,000 kepada mahasiswa luar negara dan RM470,500 kepada pelajar sekolah menengah,” katanya selepas Majlis Penyerahan Biasiswa Pelajar Cemerlang MAIWP di Menara MAIWP, hari ini.
Zulkifli berkata, MAIWP juga sentiasa memantau pendidikan setiap penerima biasiswa berkenaan.
“Sebenarnya bukan hanya memantau, tetapi macam mana kita nak memotivasikan anak-anak ini supaya terus istiqamah untuk belajar dengan sebaiknya,” katanya.
Selain itu katanya, inisiatif ini juga mencerminkan komitmen berterusan MAIWP dalam memanfaatkan hasil kutipan zakat untuk melahirkan generasi berilmu, berdaya saing dan berakhlak mulia.
Sementara itu, salah seorang penerima biasiswa yang juga pelajar Ijazah Sarjana Muda Ekonomi, Universiti Malaya (UM), Azhar Hazim Salaman, 21, berkata, biasiswa diterimanya sebanyak RM43,000 bagi tujuh semester itu dapat meringankan beban ditanggung keluarganya.
Anak kedua daripada empat adik-beradik itu berkata, biasiswa diterimanya boleh digunakan untuk membayar yuran pengajian dan perbelanjaan hariannya semasa menuntut di UM.
“Memang ia dapat membantu saya. Ini kerana keluarga saya pun memang susah. Ayah saya bekerja sebagai buruh binaan manakala ibu saya seorang suri rumah,” katanya.
Dia yang bercita-cita untuk menjadi seorang penasihat kewangan peribadi turut menganggap jumlah bantuan diterimanya itu mencukupi untuk pendidikannya.
Seorang lagi penerima biasiswa, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Permaisuri, Auliya Mohamad Zuwairi, 14, berkata, biasiswa RM1,500 setahun diterimanya itu akan digunakan dengan sebaiknya untuk membayar yuran tuisyen dan kelengkapan persekolahannya.
Katanya, ini adalah tahun keduanya menerima biasiswa daripada MAIWP dengan prestasi akademiknya harus kekal cemerlang memperoleh 5A dalam Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA).
© New Straits Times Press (M) Bhd






