Mahkamah Tinggi Shah Alam telah membenarkan tuntutan saman fitnah yang difailkan oleh Haji Ahmad Shah Rizal terhadap dua orang defendan pada 21 Januari lalu.
Defendan pertama ialah Mohd Faizul Rohban manakala defendan kedua pula adalah Irdiena Hakim Jasman yang masing masing merupakan adik dan anak Allahyarham Faziani Rohban, pengasas Dnars berhubung penerbitan pelbagai tuduhan palsu dan berunsur fitnah terhadap dirinya.
Memetik kenyataan media, fokus utama tindakan saman ini adalah berkaitan penerbitan kenyataan oleh Faizul dan Irdiena yang mendakwa Haji Ahmad Shah Rizal berlaku curang terhadap isterinya, Allahyarham Faziani Rohban, dengan mengadakan hubungan sulit bersama wanita lain semasa Allahyarham masih hidup.
Selain itu, Haji Ahmad Shah Rizal turut dituduh bersikap kejam terhadap anak tiri termasuk kononnya cuba memerangkap anak tiri tersebut melalui laporan palsu, tamak serta cuba menyeleweng harta peninggalan Allahyarham.
Faizul dan Irdiena juga mendakwa Haji Ahmad Shah Rizal cuba melenyapkan bukti dengan menggodam akaun facebook milik Faizul, selain tidak bertanggungjawab dalam menyediakan keperluan dan penjagaan anak tiri.
Dalam prosiding mahkamah, Faizul dan Irdiena turut mengemukakan tuduhan serius kononnya Haji Ahmad Shah Rizal terlibat merancang pembunuhan Allahyarham.
Untuk rekod, isu kematian Allahyarham tidak pernah dibangkitkan oleh Haji Ahmad Shah Rizal dalam saman fitnah ini, sebaliknya ia dikemukakan oleh pihak defendan dalam pembelaan mereka.
Mahkamah mendapati, Faizul dan Irdiena gagal membuktikan kesemua tuduhan-tuduhan terhadap Haji Ahmad Shah Rizal.
Mahkamah telah memutuskan Haji Ahmad Shah Rizal telah difitnah manakala kesemua dakwaan dibuat adalah tidak benar dan tidak berasas.
Haji Ahmad Shah Rizal juga percaya tuduhan-tuduhan ini dibuat oleh kedua dua defendan iaitu Faizul dan Irdiena semata-mata untuk meraih simpati masyarakat, mensensasikan keadaan dan memburukkan nama baik dan kredibiliti Haji Ahmad Shah Rizal.
Selaras dengan keputusan tersebut, mahkamah memerintahkan Faizul dan Irdiena membayar gantirugi serta mengeluarkan satu perintah injuksi kekal.
Mahkamah mengarahkan kedua-dua defendan untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Haji Ahmad Shah Rizal di media arus perdana iaitu Harian Metro, Sinar Harian, Kosmo! dan Berita Harian, selain di portal Ohmymedia serta di akaun Facebook peribadi milik kedua-dua defendan.
Mahkamah turut mengeluarkan perintah injuksi kekal yang melarang Faizul dan Irdiena, termasuk ejen atau pekerja mereka, daripada mengeluarkan sebarang penerbitan atau penulisan lanjut yang mengandungi tuduhan sama atau apa-apa kenyataan yang bersifat fitnah terhadap Haji Ahmad Shah Rizal pada masa akan datang.
Haji Ahmad Shah Rizal menegaskan bahawa tindakan undang-undang ini diambil bukan atas dasar kepentingan kewangan, tetapi bertujuan membersihkan namanya, mempertahankan maruah dan integriti peribadi serta memelihara nama baik keluarga, bagi menghentikan fitnah yang menjejaskan reputasinya selama ini.
“Saya menghormati keputusan mahkamah dan bersyukur kerana kebenaran telah ditegakkan. Fitnah yang dilemparkan bukan sahaja menyentuh diri saya dan keluarga tetapi juga menjejaskan maruah dan legasi Allahyarham.
“Saya berharap keputusan ini menjadi pengajaran kepada semua bahawa fitnah dan tuduhan jahat tanpa asas yang dibina naratifnya mengikut hawa nafsu adalah sangat kejam” kata Haji Ahmad Shah Rizal menerusi sebuah kenyataan media.
Berhubung kenyataan dan reaksi di media sosial selepas mahkamah menjatuhkan hukuman semalam.
Haji Ahmad Shah Rizal memilih untuk kekal tenang dan tidak melayan sebarang provokasi. Tegasnya, keputusan mahkamah adalah rekod rasmi yang perlu dihormati dan dipatuhi oleh semua pihak.
Dia menasihati masyarakat agar sedar akan kesan buruk menyebar fitnah dan membuat tuduhan palsu terhadap orang lain kerana ia bukanlah jalan penyelesaian yang bijak, pasti akhirnya mereka akan tetap menerima akibat dari perbuatan keji itu.
Dia berharap pihak yang terlibat dapat menerima keputusan mahkamah dengan patuh dan berlapang dada dan mendoakan ketenangan dan kesejahteraan buat semua pihak yang terlibat.





