norhayati_nordin@hmetro.com.my
Belum cukup sebulan 2026 berlalu, namun industri hiburan sudah mula panas dengan isu luahan hati akibat dakwaan pernah dibuli dan insan tersayang difitnah rakan artis.
Sayangnya, insiden yang membawa ‘luka’ itu berlaku ketika dua figura gadis muda, tetapi masing-masing sudah aktif bergelar pelakon sejak usia kecil.
Apa-apa pun, isu yang timbul itu sangat mengejutkan kerana budaya buli berkenaan didakwa berlaku ketika kedua-duanya iaitu Puteri Balqis dan Mia Sara Nasuha masih kanak-kanak.
Sebaik didedahkan permasalahan berlaku di media sosial, agak sangat kasihan kepada industri hiburan Malaysia yang kecil ini apabila terkait dengan kes buli yang didakwa berlaku.
Tolak ke tepi pelakon dewasa dan veteran yang mungkin pernah juga berhadapan masalah sama iaitu dibuli, namun sedihnya ini membabitkan ketika kanak-kanak berbakat.
Sungguh kalau difikirkan budaya buli itu memang kejam dan tidak sihat, tetapi manusia mempunyai ragam tersendiri. Cuma, sekarang apabila ia dibongkar dan ramai pula yang terkait.
Menelusuri isu panas yang menarik perhatian ramai orang di media sosial ini termasuk mendapat liputan meluas media, kes sebegini bukan kecil, tetapi besar.
Didapati juga ramai selebriti senior yang bersuara dengan berkongsi pengalaman pernah bekerjasama dengan kedua-dua remaja ini dan mempunyai pendapat masing-masing.
Seperti selalu dikatakan, kita tidak duduk dalam ‘kasut’ mereka iaitu individu didakwa pembuli dan yang kena buli, namun pihak berkaitan perlu segera hadir membantu.
Umpamanya, pihak persatuan yang mungkin boleh membantu dengan mempertemukan mereka untuk penyelesaian lebih efektif serta berbincang sebaik-baiknya.
Meskipun isu buli ini bersifat peribadi dan hak setiap orang bersuara meluahkan kejadian yang pernah dialami, tetapi langkah penyelesaian perlu ada dan dicari.
Sampai bila ingin membiarkan suasana keruh ini begitu sahaja? Baru membabitkan dua pelakon remaja, namun apakah isu sama tidak pernah berlaku kepada bakat muda lain?
Jangan membiarkan industri nampak kejam kepada penggiatnya dengan dakwaan isu buli sebegini. Apatah lagi, setiap apa yang berlaku itu pasti ada jalan penyelesaian.
Selain itu, industri juga terus dibelenggu kes perceraian selebriti. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, mahkamah syariah menjadi saksi institusi perkahwinan dibina atas dasar cinta akhirnya runtuh.
Selesai satu kes, timbul lagi kes perceraian yang lain. Memang jodoh, pertemuan, ajal dan maut adalah ketentuan takdir, namun kalau sudah nama selebriti tetap menjadi tumpuan ramai.
Jadi, apa yang berlaku secara tidak langsung membuatkan medan media sosial sangat meriah. Malah, jari netizen menjadi pena tajam apabila kebanyakan mereka tidak menang tangan meninggalkan pelbagai komen.
Ada komen membina untuk pasangan berpisah, namun ada juga komen yang menghiris hati.
Ternyata keterbukaan untuk berbicara serta meluahkan perasaan di media sosial ini perlu difikirkan baik dan buruknya sebelum bertindak.
Tidak salah berkongsi apa yang dirasakan, tetapi biar ia berpada-pada kerana terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Usah dibiar emosi mempengaruhi diri.
Apa-apa pun, diharapkan juga menitip doa buat selebriti yang ditimpa ujian kesihatan seperti pelawak dan pelakon, Shamsul Ghau Ghau serta pelakon, Along Eyzendy yang khabarnya ketika ini sakit.
Shamsul Ghau Ghau kini menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang akibat strok dan sudah menjalani pembedahan membuang darah beku pada otak, Sabtu lalu.
Malah, Along pula yang disahkan mengalami buah pinggang rosak pada 2019 sudah menjalani pembedahan selepas mendapat buah pinggang yang didermakan oleh isterinya, Hamidah Mohd Yatim pada 15 April 2021.
Bagaimanapun, difahamkan Along sekarang diuji masalah kesihatan apabila dimaklumkan rakannya iaitu pelakon Pablo Amirul bahawa dia kini mendapat rawatan di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS) Serdang.
Penulis wartawan hiburan Harian Metro
© New Straits Times Press (M) Bhd






