SEPANG: Ketegasan kerajaan terhadap isu tatakelola dan integriti bukan perkara baharu, sebaliknya ia menjadi asas dan agenda penting sejak terbentuknya Kerajaan Perpaduan tiga tahun lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, usaha membanteras isu tatakelola dan integriti itu kekal menjadi keutamaan utama dalam agenda transformasi pentadbiran kerajaan.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, setiap salah laku walaupun kecil ia perlu ditangani secara serius bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap institusi awam terus terpelihara.
“Walaupun terdapat kes salah laku berskala kecil namun, ia tidak mewakili keseluruhan perkhidmatan awam yang majoritinya berpegang kepada prinsip integriti dan komited dalam melaksanakan tanggungjawab,” katanya selepas melancarkan Ladang Solar Fotovoltaik Aeropolis bersama Sistem Penstoran Tenaga (BESS) bagi kegunaan khusus Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.
Fadillah mengulas perkara itu susulan amanat dan amaran keras Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada pimpinan tertinggi agensi penguat kuasa diberi tempoh seminggu untuk melaksanakan pembaharuan atau bersedia diturunkan pangkat ke jawatan lebih rendah.
Mengulas pemantauan pelaksanaan di bawah kementeriannya (PETRA), Fadillah berkata, kerajaan sudah mempunyai mekanisme kawalan jelas termasuk pelaksanaan audit dalaman secara berkala bagi memastikan setiap projek berjalan mengikut perancangan dan tidak mengalami kelewatan.
Katanya, agensi di bawah PETRA telah berjaya memperoleh penarafan audit lima bintang, sekali gus membuktikan tahap pematuhan dan tadbir urus yang baik dalam pelaksanaan tugas. – UTUSAN






