‘Saya sendiri terkejut’ – Setiausaha Agung AFC

‘Saya sendiri terkejut’ – Setiausaha Agung AFC


TINDAKAN Ahli Jawatakuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meletakkan jawatan disifatkan sebagai langkah terpuji yang diambil demi kepentingan dan masa depan bola sepak negara.

Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John berkata, keputusan untuk melepaskan jawatan bukanlah sesuatu yang mudah, namun kesemua exco terbabit membuktikan keutamaan mereka adalah negara apabila melakukannya secara kolektif.

Menurut Windsor, tindakan tersebut jarang berlaku dalam mana-mana organisasi bola sepak sebelum ini dan keputusan itu wajar dihargai oleh semua pihak.

“Saya sendiri terkejut dengan cara Jawatankuasa Eksekutif membuat keputusan untuk meletak jawatan. Saya berada di sana sebagai saksi, jika anda bertanya kepada mereka, mereka boleh berkata apa sahaja.

“Namun, sebagai orang luar, saya mungkin tidak pernah melihat peletakan jawatan secara kolektif dan bersemangat solidariti seperti ini, semata-mata demi bola sepak Malaysia.

“Saya menghargai apa yang dilakukan oleh Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM, walaupun mereka sebenarnya tidak wajib meletak jawatan,” katanya.

Windsor turut menegaskan bahawa langkah tersebut membuktikan tiada unsur kepentingan peribadi dalam kalangan ahli jawatankuasa berkenaan.

Jelasnya, pemerhatian terhadap banyak organisasi lain menunjukkan situasi ini berbeza kerana kesemua mereka meletakkan imej FAM sebagai keutamaan tertinggi.

“Tiada kepentingan peribadi dan mereka semua bersetuju bahawa ini adalah perkara yang betul untuk dilakukan.

“Saya fikir mereka wajar dihormati dan diberi penghargaan sewajarnya kerana membuat keputusan yang sangat berani demi bola sepak Malaysia,” ujarnya lagi.

Terdahulu, bekas Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dalam satu sidang akhbar pada Rabu mengumumkan bahawa semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif bagi penggal 2025–2029 secara kolektif dan sukarela meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta.

Beliau yang juga bekas Timbalan Presiden FAM memaklumkan, keputusan sebulat suara itu diambil dengan mengambil kira tanggungjawab terhadap organisasi tanpa melibatkan sebarang kepentingan peribadi.

Ringkasan AI

  • Tindakan Exco FAM meletak jawatan didorong oleh kepentingan bola sepak negara
  • Keputusan meletak jawatan secara kolektif ini jarang berlaku dan dihargai sebagai tindakan berani
  • Tidak ada unsur kepentingan peribadi dalam keputusan ini, menunjukkan prioritas pada kepentingan bola sepak Malaysia
  • Tindakan ini meraih penghormatan dan penghargaan sebagai langkah yang betul demi bola sepak Malaysia
  • Semua ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2025–2029 meletak jawatan secara sukarela dan sebulat suara



Source link

OR

Scroll to Top