Duo pereka fesyen terkenal, Rizman Ruzaini, memilih untuk tidak memberikan sebarang komen lanjut berhubung tuntutan RM1.3 juta yang difailkan oleh pelakon suami kepada aktres Datin Intan Najuwa, usahawan Datuk Ahmad Azraf Azman memandangkan kes berkenaan masih dalam proses mahkamah.
Menurut Rizman Nordin dan Ruzaini Jamil, setiap isu mempunyai dua sisi, namun mereka mengambil pendekatan untuk menghormati sepenuhnya perjalanan undang-undang yang sedang berlangsung.
“There’s always two sides of the story. Tapi, kami tidak boleh mengulas apa-apa ketika ini kerana semuanya masih dalam proses mahkamah. Kami perlu menghormati prosedur yang sedang berjalan. Apabila tiba masanya, barulah perkara ini akan dijelaskan,” kata mereka.
Rizman Ruzaini ditemui di pertunjukan fesyen koleksi Syawal 2026 di butik mereka di Hotel
Shangri-La, Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Mengulas lanjut, duo pereka itu menegaskan sepanjang lebih dua dekad membina nama dalam industri fesyen dan keusahawanan, setiap keputusan yang diambil sentiasa berlandaskan kematangan serta profesionalisme.
“Kami sudah lebih 20 tahun berada dalam industri ini. Apa sahaja yang kami lakukan perlu mencerminkan kematangan. Setiap cabaran yang dihadapi, kami cuba memilih jalan terbaik dan menyelesaikannya secara profesional,” jelas mereka.
Menyentuh soal reputasi jenama Rizman Ruzaini, mereka berpandangan isu berkenaan tidak menjejaskan sokongan pelanggan setia yang selama ini menjadi tunjang kekuatan jenama tersebut.
“Apa yang membuatkan kami terus kukuh selepas 20 tahun adalah sokongan yang sangat kuat. Mungkin isu ini bukan sesuatu yang besar kepada peminat rekaan Rizman Ruzaini kerana sokongan mereka kekal sehingga hari ini,” tambah mereka.
ARTIKEL BERKAITAN: Kekal Bergaya! 20 Tahun Dalam Dunia Fesyen, Rizman Ruzaini ‘Takluk’ KLCC
Terdahulu, Intan dan suami dilaporkan menuntut RM1.3 juta selepas mendakwa sudah tiga tahun berdiam diri sebelum mengambil tindakan undang-undang serta menyeru pihak berkenaan mematuhi perintah mahkamah yang dikeluarkan.






