Air banjir mungkin sudah surut, namun sisa kemusnahan harta benda masih menghimpit ribuan keluarga di Pantai Timur.
Menyedari kepayahan itu, Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Bersama Coway Misi Bantuan Banjir hadir sebagai simbol solidariti bagi menyuntik semangat buat mereka yang terjejas.
Misi kemanusiaan itu bermula di Pahang pada 11 Januari lalu, menyaksikan Taman Pelangkah, Pekan dipilih sebagai lokasi pertama.
Sebanyak 700 Kotak Rezeki disalurkan kepada penduduk setempat serta tujuh kampung tradisional sekitar termasuk Kampung Temai, Kampung Permatang Nangka, Kampung Lepar Baru Tanah Putih, Kampung Kelat Rendang, Kampung Lamir dan Kampung Pahang Tua.
Setiap keluarga menerima dua kotak barangan makanan asas dan keperluan kebersihan diri bagi membantu meringankan beban pasca banjir.
Jelajah diteruskan ke Kuantan dengan Dewan Sekolah Agama Rakyat (SAR) KAFA Al Ubudiah Al Jariah, Taman Guru menjadi pusat agihan seterusnya, menjadikan keseluruhan 1,600 Kotak Rezeki berjaya diagihkan di dua daerah di Pahang.
Pengurus Bahagian Pemasaran Coway Malaysia, Janice Tan berkata, bantuan barangan makanan asas dan keperluan kebersihan itu diharap dapat mengurangkan beban kewangan mangsa.
“Dalam keadaan sukar, sokongan amat diperlukan. Coway tampil membantu kerana kami percaya dalam susah dan senang, kita perlu bersama,” katanya sambil menzahirkan harapan agar mangsa terus tabah menghadapi ujian.
Program berkenaan turut menyantuni mangsa di Terengganu, lokasi ketiga iaitu Dewan Sivik Merchang, Marang menjadi saksi kesyukuran penerima termasuk golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
Antaranya Hashim Omar, 69, seorang OKU fizikal yang menyifatkan sumbangan yang diterima membawa makna besar buat dirinya dan keluarga.
“Bantuan ini mungkin kecil di mata orang lain, tetapi besar bagi saya.
“Sekurang-kurangnya ia membantu perbelanjaan keluarga untuk tempoh tertentu,” katanya yang tinggal bersama isteri, anak serta cucu, selain menanggung dua anak OKU.
Kisah Hashim mencerminkan realiti kehidupan mangsa banjir yang berdepan cabaran berulang saban tahun, namun tetap bersyukur apabila ada pihak sudi turun padang menyampaikan bantuan dan sokongan moral.
Misi kemudian diteruskan ke Kelantan dengan Tumpat menjadi lokasi keempat apabila 400 mangsa menerima Kotak Rezeki di Dewan Komuniti Tumpat.
Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro, Yusri Abdul Malek, berkata walaupun sumbangan itu tidak mampu menggantikan segala kerugian dialami, ia diharap dapat membantu keperluan dapur dan meringankan beban keluarga penerima.
“Harian Metro akan terus komited menjadi jambatan yang menghubungkan pihak yang ingin membantu dengan mereka yang memerlukan melalui program TKHM ini,” katanya.
Kemuncak misi berakhir di Masjid Al-Amin, Taman Sri Rantau, Rantau Panjang di mana 400 lagi keluarga disantuni.
Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit berkata, kehadiran TKHM bukan sekadar menyampaikan bantuan fizikal, sebaliknya membawa mesej solidariti bahawa mangsa banjir tidak bersendirian.
“Walaupun ini lokasi terakhir jelajah, komitmen Harian Metro dan Coway untuk menyantuni masyarakat tidak akan terhenti.
“Kami berharap sumbangan ini dapat memberi sedikit kelegaan dan kekuatan kepada mangsa untuk bangkit semula,” katanya.
Sepanjang pelaksanaan misi, program TKHM Bersama Coway mendapat sokongan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pihak berkuasa tempatan yang membantu mengenal pasti penerima dan melancarkan urusan agihan keseluruhan 4,000 Kotak Rezeki.
Lebih daripada sekadar bantuan, jelajah ini menjadi simbol keprihatinan dan empati tanda bahawa ketika diuji, masih ada tangan yang sudi menghulur dan hati yang cakna terhadap nasib rakyat.
© New Straits Times Press (M) Bhd






