am@hmetro.com.my
Kuching: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas sejumlah mercun dan bunga api tanpa permit dianggarkan bernilai RM2.2 juta dalam serbuan di empat premis di negeri ini.
Komander Briged PGA Sarawak , Senior Asisten Komisioner Lim Bak Phai berkata, serbuan itu dijalankan pada 26 hingga 28 Januari di Kuching, Sibu, Bintulu dan Lubok Antu.
Menurutnya, operasi berkenaan dilaksanakan sebagai sebahagian usaha membanteras penyimpanan dan penjualan bahan letupan secara haram menjelang musim perayaan.
“Dalam operasi polis turut menahan empat lelaki yang berumur antara 18 dan 49 tahun.
“Kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, Sibu, Bintulu dan Lubok Antu untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, di Lubok Antu dan Bintulu sahaja, sejumlah 14,454 unit mercun dan bunga api dirampas.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






