am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Lelaki warga asing menggunakan kepakarannya sebagai tukang rumah dengan menyembunyikan diri di bahagian bumbung tingkat empat sebuah bangunan di Taman Emas, Cheras, di sini hari ini.
Tindakan berani itu turut diikuti dua wanita lain bersama dua lagi lelaki dalam usaha melarikan diri dalam serbuan dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Bagaimanapun, semua mereka berjaya ditahan menerusi Op Sapu Bersepadu yang dijalankan Ibu Pejabat JIM Putrajaya hasil risikan dilakukan pihaknya.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi JIM, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, operasi bermula pada jam 6.30 petang dan berakhir pada jam 10 malam berjaya menahan 220 warga asing pelbagai warganegara.
“Dalam operasi ini lebih 1,000 individu diperiksa termasuk warga tempatan, sebelum tangkapan dibuat ke atas warga asing yang dipercayai melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
“Antara kesalahan yang dikesan termasuk tidak mempunyai dokumen sah untuk berada di negara ini serta menyalahgunakan pas lawatan yang diberikan,” katanya ketika pada sidang media selepas operasi terbabit.
Lokman berkata, operasi turut menggunakan teknologi dron bagi membantu pengesanan, termasuk mengenal pasti individu yang bersembunyi di atas bumbung.
“Operasi ini dilaksanakan hasil risikan yang dijalankan kira-kira dua minggu, selain maklumat aduan yang diterima.
“Tiada kecederaan dilaporkan dalam operasi ini dan semua tahanan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, orang ramai dan majikan supaya menyalurkan maklumat berhubung warga asing yang melanggar undang-undang serta tidak mengambil pekerja tanpa pas kerja sah.
“Masyarakat digesa untuk tidak melindungi atau membantu pihak yang melanggar undang- undang imigresen, dan sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Maklumat berkaitan kegiatan haram boleh disalurkan melalui saluran rasmi aduan JIM. Jabatan Imigresen Malaysia komited untuk terus memperkukuh operasi penguatkuasaan bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara sentiasa terpelihara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






