'Hutang tidur' antara punca badan kekal 'montel'

'Hutang tidur' antara punca badan kekal 'montel'


asmaini@mediaprima.com.my

AZAM tahun baharu untuk menurunkan berat badan, amal pemakanan lebih sihat atau bersenam lebih kerap sering gagal disebabkan oleh tidur yang tidak mencukupi.

Berjaga lewat malam, menggunakan gajet secara berterusan dan rutin yang tidak teratur menyebabkan ramai golongan dewasa terbeban dengan ‘hutang tidur’ yang kronik.

Ia bukan sahaja menjejaskan metabolisma, imuniti dan mood, malah meningkatkan risiko untuk mendapat masalah darah tinggi serta penyakit jantung.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 menunjukkan dua daripada lima orang dewasa tidak mendapat tidur yang cukup.

Malah, tinjauan berasingan pada 2024 pula melaporkan bahawa 87.2 peratus rakyat Malaysia bergelut dengan masalah seperti insomnia, kerap terjaga atau sukar untuk tidur.

Pakar Perunding Telinga, Hidung, Tekak (ENT) dan Pakar Bedah Kepala dan Leher di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) Dr Juani Hayyan Abdul Karaf berkata, rakyat Malaysia sedar tidur adalah penting.

“Tetapi, mereka mungkin tidak menyedari betapa bahaya kesan jangka panjang akibat tidur yang tidak mencukupi,” katanya.

Menurut beliau, tuntutan gaya hidup, waktu kerja yang berpanjangan dan tekanan menyebabkan ramai kekurangan tidur secara kronik.

“Apabila tidur terganggu secara berterusan dan badan kurang rehat, sistem dalaman mula berubah lalu menjadikan tabiat sihat lebih sukar untuk dikekalkan.

“Satu daripada perubahan pertama ialah pengawalan selera makan apabila kekurangan tidur mempengaruhi dua hormon utama yang mengawal rasa lapar.

“Leptin, hormon yang membuatkan rasa kenyang menurun manakala ghrelin, hormon yang merangsang selera makan meningkat,” katanya.

Jelas Dr Juani lagi, ketidakseimbangan itu akan meningkatkan keinginan untuk makan makanan yang tinggi gula dan karbohidrat.

Kata beliau, kekurangan tidur juga meningkatkan kortisol dan hormon tekanan utama di dalam badan.

“Kortisol tinggi menyebabkan kerengsaan, tahap kesabaran yang rendah dan keletihan berterusan, sekali gus membuatkan individu lebih cenderung untuk untuk tidak bersenam atau beralih kepada makanan ringan bagi mendapatkan tenaga dengan cepat.

“Lama-kelamaan, ia mewujudkan satu kitaran yang keletihan mencetuskan tekanan, tekanan akan mengganggu tidur dan kitaran ini akan berterusan sehingga keesokan harinya,” katanya.

Beliau mengatakan, jadual tidur yang tidak teratur menambahkan lagi tekanan dengan ia mengganggu irama sirkadian.

Jelas Dr Juani, walaupun mengalami kesan berkenaan, ramai rakyat Malaysia salah tafsir tanda awal gangguan tidur itu.

Simptom seperti sakit kepala pada waktu pagi, kesukaran menumpukan perhatian pada siang hari atau keletihan yang berterusan sering dipersalahkan sebagai tekanan dan bukannya disebabkan oleh tidur yang tidak berkualiti.

Menurut Dr Juani, keadaan seseorang sesudah bangun tidur adalah petunjuk kualiti tidur yang paling jelas.

“Jika seseorang bangun dengan rasa pening, susah menumpukan perhatian atau rasa tidak segar, ia menunjukkan mereka tidak mendapat tidur yang mencukupi.

“Kelesuan, kerengsaan dan mengantuk pada waktu yang tidak sesuai sering menunjukkan gangguan tidur yang berlarutan.

“Simptom itu menunjukkan bahawa kualiti tidur tidak baik yang berlanjutan dan hal ini tidak boleh diabaikan,” katanya.

Walaupun faktor gaya hidup memainkan peranan utama dalam masalah tidur yang tidak mencukupi, kebanyakan masalah ini sebenarnya bermula daripada saluran pernafasan.

Ini kerana, saluran yang sedikit sempit pun boleh mengganggu pernafasan sepanjang malam.

Berdengkur selalunya petanda terawal bagi masalah ini, namun ia sering dianggap normal.

Kata Dr Juani, daripada perspektif ENT, berdengkur menjadi kebimbangan apabila ia berlaku bersama-sama dengan gejala lain seperti hidung tersumbat, hidung berhingus secara berlanjutan, kesukaran menelan atau tanda apnea (keadaan yang mana pernafasan terhenti sementara, biasanya semasa tidur).

“Masalah hidung tersumbat atau masalah berkaitan sinus juga boleh menjadi lebih teruk pada waktu malam disebabkan oleh suhu yang lebih rendah, apabila seseorang itu baring atau terdapat peningkatan pengumpulan lendir, walaupun pernafasan terasa normal pada siang hari.

“Apabila penyempitan saluran pernafasan semakin teruk, ramai individu secara tidak sedar beralih kepada pernafasan menggunakan mulut semasa tidur.

“Ini mengurangkan kecekapan aliran udara dan mengganggu keupayaan badan untuk mencapai tidur yang nyenyak,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top