KOTA BHARU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Machang mendesak pimpinan tertinggi memecat Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sebagai ahli selepas melakukan kerosakan yang teruk pada parti.
Ketuanya Kamaruddin Ab. Kadir berkata, ia susulan Ahli Parlimen Machang itu didakwa mengemukakan aduan berkaitan Pemilihan dan Persidangan Bersatu Bahagian Machang menggunakan akuan berkanun (SD) palsu.
Katanya, tindakan itu merupakan kesalahan serius yang mencemarkan integriti proses demokrasi dalaman parti.
“Saya menggesa Lembaga Disiplin Bersatu supaya menyegerakan siasatan dan keputusan terhadap semua aduan yang telah dikemukakan, termasuk dakwaan penggunaan dokumen palsu berkenaan.
“Isu itu tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana ia melibatkan keabsahan kepimpinan dan maruah parti,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kamaruddin memberitahu, penggantungan keahlian yang dikenakan ke atas Wan Ahmad Fahysal disifatkan terlalu lunak berbanding kerosakan yang kononnya telah dilakukan terhadap parti.
Katanya, tindakan tegas mesti diambil tanpa sebarang kompromi kerana Ahli Parlimen Machang itu telah berulang kali mencabar disiplin parti, mempertikai keputusan kepimpinan serta mencetuskan perpecahan di peringkat Bahagian Machang.
Dalam perkembangan sama, Kamaruddin turut menuntut supaya Wan Ahmad Fayhsal digugurkan serta-merta daripada senarai Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).
Katanya, Bersatu Bahagian Machang mahu status Wan Ahmad Fahysal di ditukar sebagai Ahli Parlimen Bebas.
“Individu yang secara terbuka menyerang parti, mempertikai kepimpinan serta merosakkan struktur dalaman tidak wajar terus menggunakan nama dan logo PN sebagai pelindung politik.
“Lembaga Rayuan Bersatu tidak seharusnya mempertimbangkan sebarang rayuan daripada Wan Ahmad Fayhsal serta Wan Saiful Wan Jan, yang didakwa terus menyerang kepimpinan dan institusi Presiden tanpa menunjukkan sebarang penyesalan.
“Memberi ruang rayuan kepada individu sedemikian hanya akan melemahkan disiplin dan autoriti parti,” katanya.
Kamarudin berkata, Bersatu bukan medan politik ugutan, manipulasi dokumen atau permainan persepsi demi kepentingan peribadi, sebaliknya perlu dipertahankan sebagai parti yang berteraskan disiplin, integriti dan kesetiaan kepada perjuangan.-UTUSAN






