firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selepas empat hari barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meletakkan jawatan beramai-ramai, timbul persoalan mengenai pengurusan skuad Harimau Malaya.
Semua sedia maklum, tujuan Exco FAM meletak jawatan adalah atas dasar tanggungjawab dan sayangkan bola sepak negara daripada digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ekoran isu pemalsuan dokumen tujuh pemain negara.
Bagi memastikan ekosistem bola sepak tidak terganggu, maka Exco membuat keputusan secara kolektif dengan meletakkan jawatan biarpun isu berkenaan berpunca daripada kecuaian beberapa individu dalam menyediakan dokumentasi itu.
Selain Exco FAM, pengurusan skuad Harimau Malaya diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rob Friend dilihat masih berdiam diri tanpa apa-apa langkah drastik diambil bagi sama-sama memikul tanggungjawab berkenaan.
Menurut bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar, beliau turut tertanya-tanya mengenai kedudukan pengurusan skuad kebangsaan yang diketahui umum bergerak secara berasingan daripada FAM.
Katanya, daripada awal sudah diterangkan bahawa pengurusan skuad Harimau Malaya akan menguruskan sepenuhnya secara profesional tentang persiapan pasukan, pemilihan pemain, penyediaan kemudahan serta ‘kerja-kerja’ mengesan pemain naturalisasi yang boleh memperkuatkan padukan negara.
“Saya sendiri tertanya-tanya juga mengenai pengurusan skuad kebangsaan. Bagi saya, adakah tidak adil tanggungjawab dipikul oleh semua Exco FAM yang sebenarnya baharu dilantik, tetapi terpaksa meletakkan jawatan selepas 11 bulan dilantik.
“Sedangkan pengurusan skuad Harimau Malaya itu sudah dibentuk ketika Exco yang lama lagi. Memang tak wajar untuk mereka pula yang meletakkan jawatan.
“Malah, mana pergi pengurusan skuad Harimau Malaya. Kenapa mereka tidak ambil tanggungjawab sama seperti Exco. Proses dokumentasi bermula dari pengurusan kebangsaan, jadi mereka juga perlu ambil tanggungjawab,” katanya kepada Arena Metro.
Pada Rabu lalu, bekas Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi pada sidang media mengumumkan semua Exco bagi penggal 2025–2029 secara kolektif dan sukarela meletakkan jawatan mereka dengan serta-merta.
Beliau yang juga bekas Timbalan Presiden FAM memaklumkan keputusan itu dibuat secara sebulat suara, dengan mengambil kira tanggungjawab organisasi dan tanpa kepentingan atau jawatan peribadi.
Susulan itu, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bersama sekretariat FAM menubuhkan petugas khas bagi membuat penilaian dalam usaha mengubah struktur serta dasar baharu bagi menjadikan FAM sebuah organisasi yang lebih mantap, profesional dan relevan dengan landskap bola sepak antarabangsa semasa.
Langkah berkenaan juga boleh mengelak meraih semula kepercayaan FIFA yang sebelum itu mendedahkan kelemahan urus tadbir FAM dalam Motivated Decision dikeluarkan sebelum ini.
Untuk rekod, FIFA menerusi Jawatankuasa Tatatertib menjatuhkan hukuman penggantungan 12 bulan ke atas tujuh pemain negara iaitu Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Héctor Hevel serta denda.
Begitupun, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mengeluarkan arahan Penangguhan Pelaksanaan, di mana ia membolehkan pemain berkenaan beraksi semula sehingga keputusan penuh di keluarkan CAS pada atau selepas 26 Februari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd






