UUM wajibkan Selasa hari beriadah untuk staf

UUM wajibkan Selasa hari beriadah untuk staf


KUBANG PASU: Universiti Utara Malaysia (UUM) mewajibkan setiap jabatan dan pusat tanggungjawab memperuntukkan satu hari Selasa setiap bulan bagi melaksanakan aktiviti riadah sebagai langkah proaktif menangani isu kesihatan dalam kalangan staf.

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, setiap jabatan dikehendaki mengadakan aktiviti riadah dari pukul 8.30 pagi hingga 2 petang tanpa mengadakan sebarang bengkel atau mesyuarat pada hari berkenaan.

Menurut beliau, ketetapan itu dibuat bagi memastikan semua kakitangan dapat memanfaatkan masa sepenuhnya untuk aktiviti fizikal yang menyegarkan tubuh dan minda.

“Semua staf digalakkan mengambil kesempatan ini untuk melakukan aktiviti riadah supaya mereka sentiasa berada dalam keadaan sihat, sekali gus mampu melaksanakan tugas dengan lebih baik,” katanya selepas Majlis Penyampaian Watikah Penjawat Utama dan Amanat Tahun Baharu di UUM, Sintok hari ini.

Beliau berkata, langkah itu susulan dapatan data semasa Pusat Kesihatan dan Kesejahteraan Universiti (PKKU) menunjukkan tahap kesihatan sebahagian kakitangan, khususnya yang berusia melebihi 40 tahun pada tahap membimbangkan.

“Profil Kesihatan 2025, seramai 655 staf atau 32 peratus mencatat bacaan Indeks Jisim Badan (BMI) melebihi 25, manakala 485 staf atau 24 peratus berada dalam kategori obesiti dengan bacaan BMI melebihi 30.

“Dalam masa sama, seramai 258 staf atau 12.8 peratus dikenal pasti menghidap diabetes, manakala 154 orang atau 7.63 peratus mempunyai paras kolesterol berlebihan. Penghidap hipertensi pula direkodkan seramai 466 orang atau 23 peratus,” jelasnya.

Katanya, statistik itu merupakan petanda awal kepada masalah kesihatan yang serius jika tidak ditangani secara berterusan kerana apabila staf lebih sihat, masalah kesihatan dapat dikurangkan dan tumpuan sepenuhnya boleh diberikan kepada urusan pekerjaan yang akhirnya memberi kesan positif kepada keseluruhan ekosistem universiti.

Dalam perkembangan lain, katanya, UUM berusaha mengorak pelbagai langkah sepanjang tahun itu termasuk menubuhkan jabatan khusus bagi mencari pelajar antarabangsa baharu khususnya untuk program pascasiswazah. 

“Sasaran UUM adalah menjadikan pelajar antarabangsa di universiti ini berjumlah 3,000 pelajar. Enrolmen terkini berjumlah 1,919 pada 2025 berbanding 2,469 pada 2024. Jabatan baharu ini akan menyusun kakitangannya yang mahir pelbagai bahasa termasuk bahasa Inggeris, Arab dan Mandarin.

“UUM juga akan menubuhkan Learning Centre di China dan Jeddah dalam masa terdekat untuk membuka kelas bahasa Inggeris kepada penduduk sekitar negara itu sebelum mereka melanjutkan pengajian ke UUM,” katanya. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top