Ibu Tunggal 7 Anak Hidap 5 Penyakit, Anak Pula Dibuli Di Sekolah

Ibu Tunggal 7 Anak Hidap 5 Penyakit, Anak Pula Dibuli Di Sekolah


Sakit kanser buah pinggang tahap tiga, jantung bengkak, paru-paru berair, darah tinggi dan serangan saraf.

Inilah masalah kesihatan kritikal yang dihadapi seorang ibu tunggal tujuh anak dari Kuantan, Pahang, dikenali sebagai Kak Aida, 49.

Akibat masalah kesihatan itu, dia pernah koma selama 18 hari dan terlantar di wad hospital selama dua bulan.

Kisah kehidupan Kak Aida yang sarat dengan ujian kesihatan dan kewangan itu didedahkan oleh seorang pengguna Facebook, Afiq Noordin.

Dalam perbualan telefon bersama Afiq Noordin, wanita cekal itu menjelaskan dia telah mencuba mencari kerja, namun tangan kanannya mengalami masalah saraf.

“Tangan kiri pula tisu koyak. Banyak perkara yang dulu mudah, sekarang akak dah tak mampu lakukan,” katanya.

Kak Aida sewaktu terlantar di wad hospital

Kak Aida turut memaklumkan dia pernah membuat jualan atas talian, namun tidak mampu bercakap terlalu lama kerana masalah sesak nafas yang teruk.

Dalam keadaan fizikal yang lemah itu, Kak Aida tetap memikul tanggungjawab sebagai ibu tunggal kepada tujuh orang anak: enam lelaki dan seorang perempuan dengan anak sulung berusia 18 tahun dan yang bongsu sembilan tahun.

Tekanan emosi semakin berat apabila anak perempuannya menjadi mangsa buli di sekolah dan dihina kerana kemiskinan keluarga.

“Mereka hina anak saya kata keluarga kami miskin,” katanya sambil memaklumkan kes berkenaan telah diselesaikan oleh pihak sekolah.

Kak Aida turut berdepan kesukaran kewangan apabila bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang pernah diterima sebelum ini dihentikan dan perlu dimohon semula.

“Masa mereka (JKM) telefon akak untuk perbaharui tempoh bantuan, akak ada dalam zon merah. Jadi disebabkan tak dapat dihubungi, bantuan itu ditamatkan,” katanya.

Dia bagaimanapun enggan menyalahkan mana-mana pihak dan menganggap perkara itu mungkin berkaitan proses serta kaedah sistem yang dilaksanakan.

Akibat penamatan bantuan tersebut, sewa rumahnya tertunggak selama dua bulan selepas wang bantuan sebelum ini digunakan sepenuhnya untuk bayaran sewa.

Ketika ini, Kak Aida hanya bergantung kepada bantuan zakat berjumlah RM600 sebulan bagi menampung keperluan harian sekeluarga.

“Alhamdulillah. Barang sekolah anak-anak akak dah cuba selesaikan,” katanya.

Walaupun berdepan tekanan kesihatan dan kewangan yang berpanjangan, Kak Aida tidak pernah meminta simpati atas penyakitnya. Yang lebih menghantui fikirannya ialah masa depan anak-anak, pendidikan mereka, maruah mereka dan hari esok yang belum pasti.

Di hujung hari, Kak Aida memilih untuk diam dan bertahan. Tubuhnya semakin lemah, namun peranannya sebagai ibu tidak pernah surut, menyimpan segala luka di dalam diri agar anak-anaknya tidak perlu menanggung beban yang sama.

Untuk sumbangan boleh salurkan melalui akaun Pertubuhan Amal Dan Kebajikan ROTIKAYA
CIMB Bank: 8604675654






Source link

OR

Scroll to Top