lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelantikan Panglima Angkatan Tentera (PAT) baharu, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman disifatkan sebagai peluang strategik untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melaksanakan penetapan semula institusi yang menyeluruh, meliputi budaya kerja, sistem pengurusan dan amalan kepimpinan.
ATM dalam kenyataan berkata, pelantikan Malek adalah signifikan buat institusi pertahanan pada ketika ini memandangkan institusi pertahanan negara berhadapan cabaran besar untuk memperkukuh semula keyakinan rakyat serta memelihara kredibiliti organisasi.
Menurutnya, tumpuan terhadap pembinaan semula kepercayaan dalaman dan luaran diyakini mampu memperkukuh kesiapsiagaan ATM sebagai pasukan pertahanan profesional, berintegriti dan dihormati.
“Dalam landskap keselamatan semasa yang semakin kompleks, kepimpinan tertinggi ATM bukan sahaja dituntut berwibawa dari sudut operasi, malah perlu berperanan sebagai pemacu nilai serta prinsip profesionalisme ketenteraan.
“Peranan ini menjadi lebih kritikal apabila ATM kini berada dalam fasa penilaian dan pembaharuan institusi, khususnya dalam usaha memperkukuh aspek tatakelola, akauntabiliti dan integriti kepimpinan,” katanya, hari ini.
ATM berkata, kepimpinan Malek dijangka berteraskan autoriti moral yang mampu menyatukan seluruh warga ATM, selain menekankan kepimpinan melalui teladan, ketegasan terhadap salah laku serta sokongan terhadap sistem semak dan imbang.
“ATM yakin pelantikan ini akan memperkukuh kepimpinan serta keupayaan pertahanan negara, di samping memulihkan dan memperkukuh wibawa ATM melalui kepimpinan berteraskan integriti dan profesionalisme, sekali gus mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan negara,” katanya.
Jeneral Datuk Malek Razak adalah lulusan Diploma Strategik dan Keselamatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Sarjana Pengajian Pertahanan dari King’s College London serta Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) UKM.
Beliau memulakan perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia pada 1985 sebagai Pegawai Kadet Luar Negara di Royal Military College, Sandhurst, United Kingdom sebelum ditauliahkan sebagai Leftenan Muda pada 11 Disember 1987.
Sepanjang hampir 40 tahun perkhidmatan, beliau pernah memegang pelbagai jawatan di peringkat pemerintah dan staf termasuk sebagai Ketua Platun Batalion ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja, dengan jawatan terakhir disandang ialah Panglima Medan Barat Tentera Darat.
ATM betkata, berdasarkan pengalaman luas serta kredibiliti yang dimiliki, pelantikan ini diyakini akan memperkukuh kepimpinan dan keupayaan ATM dalam mendepani cabaran pertahanan negara.
“Secara keseluruhannya, pelantikan PAT ke-24 ini membawa mesej jelas bahawa ATM kekal komited untuk terus memperkukuh peranan sebagai institusi pertahanan negara yang berteraskan integriti, profesionalisme dan tanggungjawab kepada rakyat.
“Pelantikan baharu ini diharap dapat memacu ATM ke arah masa depan yang lebih kukuh, diyakini dan berwibawa di peringkat nasional serta antarabangsa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






