Arsenal mara final Piala Liga selepas lapan tahun

Arsenal mara final Piala Liga selepas lapan tahun


London: Arsenal mara ke final Piala Liga buat kali pertama dalam tempoh lapan tahun selepas jaringan Kai Havertz memastikan kemenangan 1-0 ke atas Chelsea pada aksi separuh akhir kedua, awal pagi tadi.

Skuad kendalian Mikel Arteta sudah berada di kedudukan terbaik hasil kemenangan 3-2 pada perlawanan pertama dan Havertz, yang masuk sebagai pemain gantian, melengkapkan kemenangan pada minit-minit akhir di Stadium Emirates.

Ia kemenangan yang cukup melegakan buat The Gunners yang tewas dalam empat aksi separuh akhir sebelum ini iaitu Liga Juara-Juara dan Piala Liga 2025, Piala Liga 2022 serta Liga Europa 2021.

Dalam final pertama mereka selepas enam tahun, Arsenal akan berdepan Manchester City atau Newcastle United di Wembley pada 22 Mac ini.

City kini memiliki kelebihan agregat 2-0 ke atas Newcastle menjelang perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Etihad, awal pagi esok.

Arsenal kali terakhir menjuarai Piala Liga pada 1993 dan tewas dalam tiga penampilan final selepas itu.

Kini mereka berpeluang menamatkan kemarau kejuaraan itu dengan merangkul trofi pertama kelab sejak menjuarai Piala FA pada 2020, yang juga satu-satunya trofi dimenangi Arteta sejak dilantik sebagai pengurus pada Disember 2019.

“Kami sedar perlawanan ini adalah sangat penting. Ketabahan dan kefahaman untuk menerapkan jenis permainan yang perlu kami pamerkan, kami melakukannya dengan sangat baik.

“Suasana di dalam stadium cukup istimewa dan ia memberi perbezaan besar. Kami sudah menunggu selama beberapa tahun untuk berada di kedudukan ini dan pastinya kami akan meraikannya,” kata Arteta.

Musim ini dilihat menjadi musim paling bermakna buat Arsenal apabila mereka kini mendahului Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kelebihan enam mata, selain mara ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara selepas memenangi kesemua lapan perlawanan peringkat kumpulan.

Namun di sebalik kejayaan itu, Arsenal tetap menerima kritikan kerana terlalu bergantung kepada jaringan hasil sepakan sudut dan situasi bola mati.

Arteta tampil mempertahankan gaya permainan pasukannya dengan penuh bersemangat minggu ini, mendedahkan beliau memiliki ‘sebuah buku tebal penuh nama’ individu yang menganggap Arsenal sebagai ‘pasukan paling menghiburkan di Eropah’.

Pertembungan penuh fizikal menentang Chelsea itu mungkin tidak menarik perhatian pengkritik, namun Arteta tidak ambil peduli selepas berjaya membawa pasukannya mara ke Wembley.

Ketua jurulatih Chelsea, Liam Rosenior, sebelum ini memenangi enam daripada tujuh perlawanan dalam semua kejohanan sejak mengambil alih tugas daripada Enzo Maresca selepas meninggalkan Strasbourg.

Bagaimanapun, Rosenior gagal mencari formula untuk menewaskan Arsenal apabila The Gunners menewaskan Chelsea dua kali sepanjang tempoh singkat kendaliannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top