Warga China Paling Ramai Beli Rumah Di Malaysia

Warga China Paling Ramai Beli Rumah Di Malaysia


KUALA LUMPUR — Warga China menjadi kumpulan paling ramai membeli hartanah di Malaysia menerusi program Malaysia My Second Home (MM2H), berdasarkan data pembelian dari tahun 2023 hingga 31 Disember 2025.

Menurut statistik rasmi, seramai 744 peserta MM2H telah berjaya membeli hartanah sepanjang tempoh tersebut, dengan pembeli dari China mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 304 unit.

Ia diikuti oleh peserta dari Taiwan dengan 91 unit, Singapura (63 unit), Amerika Syarikat (41 unit), United Kingdom (40 unit), Hong Kong (34 unit) dan Australia (29 unit). Negara lain yang turut merekodkan pembelian termasuk Bangladesh, Korea Selatan, Indonesia dan Jepun.

Pihak kementerian menjelaskan bahawa pembelian hartanah oleh peserta MM2H tertakluk kepada kategori nilai minimum yang telah ditetapkan, antaranya kategori Platinum bagi hartanah bernilai RM2 juta ke atas, Gold bermula RM1 juta, serta kategori lain mengikut syarat semasa.

Dalam masa yang sama, kerajaan menegaskan bahawa program MM2H tidak dikhususkan kepada mana-mana negara, sebaliknya terbuka kepada pemohon dari seluruh dunia yang memenuhi kriteria kelayakan ditetapkan.

Selain pembelian yang telah disempurnakan, terdapat 2,637 peserta MM2H yang kini masih dalam proses mencari atau memuktamadkan pembelian hartanah di Malaysia.

Program MM2H diperkenalkan bagi menarik warga asing menetap dalam jangka panjang di Malaysia, sekali gus menyumbang kepada sektor hartanah dan ekonomi negara secara keseluruhan.

Sumber: Sinar Harian






Source link

OR

Scroll to Top