Nak samun, tapi kantoi dengan pemilik rumah

Nak samun, tapi kantoi dengan pemilik rumah


am@hmetro.com.my

Nilai: Niat seorang lelaki yang mahu menyamun sebuah rumah di Kampung Baru Mantin, di sini, tidak berjaya apabila suspek diberkas pemilik rumah sendiri, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 pagi itu, lelaki warga tempatan berusia 40-an itu kemudiannya ditahan polis dan pemeriksaan mendapati suspek terbabit dengan dua lagi kejadian pecah rumah.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, dengan tangkapan lelaki itu, polis berjaya menyelesaikan tiga kes samun bersenjata di daerah berkenaan.

“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Negeri Sembilan berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an bersabit dengan kes pecah rumah yang berlaku di Kampung Baru Mantin.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek disyaki terbabit dalam kesalahan pecah rumah yang disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, beberapa barangan dipercayai hasil kegiatan jenayah dirampas antaranya wang tunai berjumlah RM500, dua bentuk cincin emas, seutas rantai emas dan sebuah jam tangan jenama Rolex warna keemasan.

“Turut dirampas dua mata wang asing masing – masing Amerika Syarikat dan China, seunit telefon bimbit, beberapa barangan peribadi, termasuk pakaian dan aksesori yang dipercayai dipakai ketika kejadian,” katanya.

Jelas beliau, suspek kini direman selama tujuh hari bermula 7 Februari hingga 13 Februari bagi membantu siasatan.

“Orang awam dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, meningkatkan tahap keselamatan kediaman masing-masing serta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada balai polis berhampiran bagi membantu pihak berkuasa mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam.

“Polis Daerah Nilai merakamkan penghargaan atas kerjasama orang awam yang bertindak pantas dan berani membantu pihak polis dalam kejayaan tangkapan ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top