Pelakon jelita Vanidah Imran lebih berhati-hati dalam setiap perincian lakonan ketika menjayakan drama bersiri Walid, susulan pengalaman menerima kecaman hebat menerusi drama Bidaah, tahun lalu.
Vanidah, 52, berkata pengalaman itu membuatkan dirinya lebih peka terutama dari segi kawalan ekspresi wajah dan penyampaian watak supaya tidak mengundang tafsiran yang tersasar dalam kalangan penonton.
“Saya jadi lebih berjaga-jaga kali ini. Ekspresi pun saya kawal. Ada masa kak Erma Fatima tegur, katanya ekspresi saya kurang tepat. Saya jawab, saya tidak kisah,” katanya.
Menurut Vanidah, dia akan melakonkan watak mengikut apa yang dirasakan paling sesuai, manakala selebihnya diserahkan kepada proses suntingan.
“Saya buat apa yang saya rasa kena dengan watak. Selebihnya saya serahkan pada kerja suntingan. Kalau rasa perlu ubah, sunting saja,” ujarnya.
Vanidah ditemui pada sesi pratonton eksklusif drama Walid di Saloma, Kuala Lumpur, pada Rabu.
Mengulas kecaman yang pernah diterima, Vanidah berkata dia memilih untuk tidak memberi reaksi kerana merasakan itu langkah paling tepat pada ketika itu.
“Waktu Bidaah dulu, kritikan memang kuat. Tapi saya pilih untuk diam. Saya tidak rasa perlu jelaskan kerja saya kepada orang. Ini kerja saya sebagai pelakon dan saya tahu apa yang saya buat,” katanya.
Tambahnya, pada usia sekarang, dia tidak melihat keperluan untuk melayan tanggapan segelintir netizen yang cepat menilai.
“Umur saya pun sudah pertengahan. Kalau ada yang muda-muda suka menghakimi, silakan. Nak kata saya buat maksiat atau apa-apa, itu hak masing-masing,” katanya.
Bagaimanapun, Vanidah tidak menafikan perasaan terkilan apabila babak terbabit ditularkan oleh pihak tertentu, apatah lagi ketika itu berlaku dalam bulan Ramadan.
“Saya cuma tertanya-tanya, orang yang mula viralkan waktu Ramadan tu, apa niatnya? Waktu berbuka pun, jari yang sama digunakan untuk sebarkan,” katanya.
Vanidah turut mengakui dia sekadar mahu mengetahui tujuan sebenar tindakan tersebut, selain menegaskan setiap orang mempunyai pilihan dalam soal memaafkan.
“Kalau saya memilih untuk tidak maafkan, bagaimana? Itu hak saya. Saya cuma nak tahu, apa niat bila viralkan,” katanya.
Dalam masa sama, Vanidah menegaskan dia faham batas sebagai individu dan percaya penonton yang matang mampu membezakan antara watak dan realiti.
“Ini semua sebahagian daripada kerja. Saya tahu siapa diri saya dan bagaimana saya menjaga batas. Saya percaya penonton yang matang akan faham beza watak dengan kehidupan sebenar,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial babak panas membabitkan Vanidah dan Faizal Hussein dalam drama Bidaah yang ditayangkan di platform Viu.
Dalam adegan itu, Vanidah yang memegang watak Ummi Rabiatul dilihat menyentuh janggut watak Walid lakonan Faizal menggunakan kakinya ketika berbaring di atas katil, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi negatif.
Rata-rata netizen meluahkan rasa kurang selesa dengan babak berkenaan, lebih-lebih lagi kerana ia disiarkan dalam bulan Ramadan.






