am@hmetro.com.my
Kuala Berang: Tindakan pantas tiga kakitangan Tabung Haji (TH) cawangan Kuala Berang, menyekat transaksi seorang warga emas dapat menyelamatkan lelaki itu daripada kerugian RM250,000 selepas diperdaya sindiket penipuan.
Ketiga-tiga mereka iaitu Polis Bantuan TH Mohd Faaiz Mat, 36, kakitangan kaunter Normaiziah Abdul Rahman, 49, dan pengurus cawangan Mohd Rusyhidi Che Mohd Rawawi, 37, menyedari keganjilan pada keadaan fizikal mangsa yang kelihatan menggigil serta berada dalam keadaan tidak tenang.
Menurut Mohd Rusyhidi, kejadian berlaku pada 7 Disember lalu antara jam 1 hingga 2 petang apabila seorang mangsa datang ke kaunter TH cawangan Kuala Berang, untuk membuat pemindahan wang simpanan berjumlah RM250,000 ke akaun bank miliknya.
Katanya, melihat kepada tingkah laku mangsa yang berusia 71 tahun itu dalam keadaan mencurigakan, pihaknya kemudian melontarkan beberapa pertanyaan berkaitan tujuan pemindahan wang yang ingin dilakukan.
“Hasil penjelasan mangsa, didapati bahawa transaksi itu dilakukan atas arahan seorang individu yang menyamar sebagai pegawai polis.
“Berdasarkan maklumat itu, kami bertiga bertindak cepat dengan menyekat akaun buat sementara dan memaklumkan kepada mangsa yang dia sedang diperdaya scammer.
“Tindakan itu sekali gus berjaya menghalang mangsa daripada mengalami kerugian besar sebanyak RM250,000 kerana ketika itu sedang diperdaya sindiket penipuan,” katanya.
Ketiga-tiga mereka adalah penerima Surat Penghargaan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu, di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, dalam perhimpunan bulanan IPD Hulu Terengganu, hari ini pihaknya turut menyampaikan Surat Penghargaan Ketua Polis Terengganu kepada kakitangan TH cawangan Kuala Berang.
“Ia berikutan kepekaan pihak TH cawangan Kuala Berang, berjaya mengesan dan menggagalkan transaksi yang mencurigakan dan menyelamatkan pelanggan mereka daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






