Cerita Dua Kampung yang Kini Lebih ‘Bernafas’!

Cerita Dua Kampung yang Kini Lebih ‘Bernafas’!

Cerita Dua Kampung yang Kini Lebih ‘Bernafas’!


Bila longkang dah ada, jalan kampung makin dinaik taraf, kemas, dan malam pula diterangi lampu solar, suasana kampung memang rasa lain macam. Itulah antara perubahan yang kini dinikmati penduduk Kampung Baru Alma dan Kampung Besar di daerah Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Baru-baru ini, Min sendiri turun ke dua kampung ini untuk melihat lebih dekat perubahan yang berlaku dan bagaimana usaha yang nampak kecil ini sebenarnya memberi kesan besar kepada kehidupan seharian penduduk.

Setibanya Min di sini, kami disambut dengan senyuman beberapa wakil penduduk yang ramah. Dari riak wajah pun dah boleh agak, masing-masing macam tak sabar nak berkongsi cerita tentang perubahan yang mereka rasai selepas beberapa projek di bawah Kampung Angkat MADANI siap dilaksanakan.

Lokasi Pertama: Kampung Baru Alma

Setibanya di sini, Min terus terpana melihat pintu gerbang yang tinggi dan cantik di pintu masuk kampung, lengkap dengan tulisan Kampung Angkat MADANI yang jelas terpampang lagi, sumpah rasa wow!

Tulisan ‘Kampung Angkat MADANI’ terpampang jelas, terus buat rasa wow bila sampai sini!

Pagar Anti Panjat & Lampu Solar

Kami berkumpul di Masjid Jamek Kampung Baru Alma yang berusia 114 tahun. Di sinilah Min bertemu beberapa penduduk kampung termasuk imam masjid, Muhammad Syarifuddin Mansor, 32.

Antara projek utama di sini adalah pembinaan pagar anti panjat sepanjang 200 meter di sekeliling tanah perkuburan seluas hampir dua ekar yang terletak di belakang masjid.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Kampung dan Persatuan (JPKKP), Mohd Zaini Ilias, 41, sebelum adanya pagar tersebut, binatang seperti babi sering masuk dan mengorek tanah perkuburan.

Mohd Zaini Ilias, Pengerusi JPKKP, lega dengan pembinaan pagar anti panjat di tanah perkuburan.

“Sebelum ni, banyak binatang seperti babi kerap masuk korek tanah. Susah jugak nak kawal, tapi lepas ada pagar ni, alhamdulillah sangat membantu. Babi pun dah tak datang dah,” katanya.

Selain itu, tiga tiang lampu solar turut dipasang di kawasan tanah perkuburan bagi memudahkan urusan pengkebumian pada waktu malam.

Menurut Imam Masjid Jamek Kampung Baru Alma, Muhammad Syarifuddin Mansor, kemudahan tersebut banyak membantu penduduk.

“Lampu solar ni banyak memudahkan urusan pengkebumian waktu malam” kata Imam Muhammad Syarifuddin Mansor.”

“Sebelum ni memang susah kalau ada urusan pengkebumian waktu malam. Kami cuma guna lampu solar kecil saja. Memang agak leceh sebab kena tarik wayar dari dalam masjid untuk dapatkan tenaga elektrik. Sekarang dengan adanya tiang lampu solar ni, urusan jadi lebih mudah dan selamat,” katanya.

Selain itu, penghawa dingin di masjid yang sebelum ini tidak berfungsi kini kembali digunakan selepas menerima khidmat servis dari Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sekali gus memberi keselesaan kepada jemaah terutama ketika solat Jumaat.

Dah tak panas lagi! Penghawa dingin masjid kini berfungsi, jemaah solat Jumaat pun selesa.

Dewan Kampung Diberi Nafas Baharu

Selepas dah selesai urusan di masjid, Min melawat Dewan Gerakan Wawasan Kampung Alma yang mempunyai dua tingkat.

Dewan ini digunakan sebagai tempat orang ramai berkumpul dan menjalankan pelbagai aktiviti seperti mesyuarat serta berfungsi sebagai pusat penempatan sementara sekiranya berlaku banjir. Di tingkat bawah pula menempatkan sebuah Tabika KEMAS.

Keadaan dalam dewan kini lebih selesa dan nampak jauh lebih baharu.

Melalui Projek Kampung Angkat MADANI, pagar anti panjat turut dibina di sekeliling kawasan sekolah bagi meningkatkan tahap keselamatan.

Beberapa kerja baik pulih turut dilaksanakan termasuk pembaikan bumbung, tingkap, siling, lantai, pintu, tandas serta kerja mengecat semula dinding dewan yang mampu memuatkan kira-kira 100 orang. Selain itu, pendawaian baharu turut dipasang di dalam kawasan sekolah dan dewan tersebut.

Pagar anti panjat siap dibina, kawasan sekolah dan dewan kini lebih selamat.

Menurut Robiatul Dollah, 54, pembinaan pagar tersebut memberi kelegaan besar kepada pihak pengurusan sekolah dan ibu bapa.

“Bagus bila ada pagar ni, keselamatan lebih terjamin. Binatang seperti lembu atau monyet dah tak berani masuk ke kawasan sekolah. Budak-budak pun tak terlepas keluar sebab kawasan ni dekat dengan jalan raya,” katanya.

Menurut Robiatul Dollah, pagar anti panjat ni buat kawasan sekolah rasa lebih selamat.

Bukan setakat pagar, pembaikan bumbung juga memberi kesan positif kepada keselesaan kanak-kanak di Tabika KEMAS.

Kanak-kanak tabika meneruskan sesi pembelajaran dalam persekitaran yang lebih selesa.

Menurut Aminah Mansor, 55, Penyelia Kawasan Bukit Mertajam bagi KEMAS, walaupun masih terdapat sedikit kebocoran, keadaan tersebut jauh lebih baik berbanding sebelum ini.

Aminah Mansor, Penyelia Kawasan Bukit Mertajam (KEMAS).

“Kalau dulu hujan lebat, air akan turun sampai ke bawah dan mengganggu anak-anak yang sedang belajar sebab bumbung bocor. Ada juga barang rosak seperti buku sebab tak sempat nak selamatkan bila hujan turun di luar waktu persekolahan,” jelasnya.

Jalan Kampung Kini Lebih Selesa

Bab jalan kampung pula, dulu memang klasik korang. Jalan berpasir, panas berdebu, hujan pun jadi becak. Nak lalu pun kena hati-hati. Sekarang lain cerita.

Dulu jalan pasir, sekarang dah bertar. Penduduk pun happy lalu jalan baharu hasil Projek KAM.

Jalan baharu sepanjang 250 meter siap dibina dan kira-kira 700 meter jalan lama diturap semula dengan tar. Hasilnya, urusan keluar masuk kampung jadi lebih lancar, tak perlu lagi hadap pasir dan lopak setiap hari. Barulah terasa nikmatnya!

Lokasi Kedua: Kampung Besar – Masalah Longkang Lebih 30 Tahun

Selepas selesai melawat Kampung Baru Alma, Min meneruskan perjalanan ke Kampung Besar yang terletak kira-kira 10 minit sahaja dari Kampung Baru Alma.

Penduduk di Kampung Besar ini mempunyai kira-kira 2,000 orang dan sekitar 250 buah rumah. Antara isu paling lama membelenggu kampung ini ialah ketiadaan sistem pengairan yang baik.

Bayangkan, lebih 30 tahun penduduk hidup dengan sistem perparitan yang tidak lengkap.

Inilah lubang yang dikorek penduduk di tepi rumah sebelum ada sistem perparitan – tempat air sering bertakung dengan harapan ia akan meresap ke dalam tanah.

Sebelum ini, penduduk hanya mampu mengorek lubang di tepi rumah dan berharap air tersebut menyerap ke tanah. Namun bau masih ada. Tanah di sekeliling rumah pula sentiasa lembap kerana air tidak mengalir dengan baik.

Menurut Ketua Kampung Kampung Besar, Chen Kin Ngong, 57, masalah ini sudah lama berlaku dan memberi kesan besar kepada kehidupan harian penduduk.

Ketua Kampung Kampung Besar, Chen Kin Ngong.

“Dulu memang tak ada sistem longkang yang betul. Cara kampung lama-lama, korek lubang di tepi rumah saja. Air semua bertakung, tanah sentiasa basah dan bau pun tak sedap sebab air tak mengalir ke mana-mana,” katanya.

Keadaan rumah yang rapat antara satu sama lain pun membuatkan Min sendiri dapat membayangkan betapa tidak selesanya situasi yang terpaksa dihadapi penduduk sebelum ini.

Dulu Hotspot Denggi

Selain isu bau dan air bertakung, satu lagi perkara yang paling membimbangkan penduduk iaitu kes denggi! Kalau korang nak tahu, Kampung Besar pernah menjadi hotspot denggi dengan kes mencecah sehingga 10 kes sebulan. Malah, ada keluarga yang mencatatkan tiga hingga lima ahli dijangkiti serentak.

Penduduk pernah bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar bagi mengawal pembiakan nyamuk dan keadaan sempat terkawal seketika sekitar tahun 2019.

“Kami ada letak ikan gapi dalam air bertakung supaya tak ada berudu. Kalau berudu ada, nyamuk senang membiak dan kes denggi boleh naik balik. Tapi itulah, sekejap saja okay,” jelas Chen.

Namun risikonya tetap ada selagi sistem pengairan tidak berfungsi dengan baik. Tambahnya lagi.

Lepas buat longkang, air dah mengalir dan tak ada lagi air bertakung.

Menurut Chen yang juga Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Besar, masalah denggi kini semakin jarang berlaku dan kampung tersebut tidak lagi dikategorikan sebagai hotspot selepas pembinaan longkang baharu. Syukur sangat.

KAM Penyelamat Kampung Besar

Permohonan untuk membina longkang sebenarnya pernah dibuat sebelum ini, namun prosesnya mengambil masa yang panjang kerana melibatkan keizinan banyak pihak termasuk pemilik rumah.

Isu ini berlarutan sehinggalah tahun 2025 apabila Kampung Besar akhirnya menerima peruntukan di bawah Projek Kampung Angkat MADANI.

Dulu banyak air bertakung, namun selepas longkang siap dibina, air kini mengalir lancar.

Menariknya, kerja pembinaan dan naik taraf longkang baharu ini hanya mengambil masa kira-kira tiga bulan sahaja untuk disiapkan. Projek bermula pada Ogos 2025 dan kini penduduk sudah boleh menikmati perubahan tersebut.

Dua laluan longkang utama dibaiki, termasuk longkang lama yang rosak dan pecah. Longkang baharu ini turut ditutup dengan penutup yang lebih selamat, sekali gus menjadikan laluan kampung lebih lebar dan selesa untuk penunggang motosikal serta pejalan kaki.

Longkang baharu bertutup menjadikan laluan kampung lebih lebar dan selamat.

Selain itu, longkang baharu sepanjang 150 meter turut dibina di sekitar kawasan perumahan penduduk bagi memastikan aliran air lebih teratur.

Perubahan ini jelas memberi kelegaan kepada penduduk lama di kampung tersebut.

Bagi Ng Teik Chya, 57, yang telah tinggal di sini selama lebih 50 tahun, projek ini benar-benar membawa perubahan ketara terhadap kebersihan dan keselesaan kawasan tempat tinggalnya.

Ng Teik Chya, dah 52 tahun tinggal sini, gembira dengan kawasan kampung yang kini lebih bersih dan selesa.

“Dulu rumah sini semua rumah papan ja. Longkang memang tak ada, kami korek lubang ja simpan air. Kebersihan pun tak berapa nak okay, denggi pun ada. Tapi lepas Projek KAM ni, semua dah okay. Air longkang elok mengalir, kawasan pun dah bersih,” katanya sambil tersenyum.

Ng Wai Leng, 41, yang sudah 36 tahun menetap di Kampung Besar pula melihat projek ini sebagai satu permulaan yang baik.

Ng Wai Leng gembira melihat perubahan besar selepas Projek KAM di kampungnya.

Jelasnya, sebelum ini setiap kali hujan lebat, air boleh naik sehingga paras buku lali. Kini keadaan tersebut tidak lagi berlaku, sistem perparitan kini lebih teratur dan kawasan kampung dilihat lebih bersih serta terurus.

Harapannya agar projek seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan kerana perubahan ini mungkin nampak kecil di mata luar, tetapi besar maknanya buat mereka.

Bukan Setakat Longkang, Identiti Kampung Pun Dibina

Dana daripada Projek KAM ini bukan sahaja digunakan untuk kerja-kerja perparitan sahaja tetapi penduduk kampung turut mengambil peluang duduk berbincang dan berkongsi idea untuk membina sebuah tembok nama khas bertulis “Kampung Angkat MADANI, Kampung Besar.”

Tembok nama ini bukan sekadar tanda, tapi lambang identiti dan sejarah Kampung Besar dengan elemen raket dan shuttlecock yang merujuk kepada legasi badminton kampung ini yang pernah menjadi tempat latihan awal Datuk Lee Chong Wei.

“Memang banyak beza lepas Projek KAM ni. Sistem perparitan pun dah baik, lepas tu kami juga ada bina tembok nama kampung lagi. Sekarang ini baru nampaklah Kampung Besar ni memang ada,” jelas Ng Wai Leng.

Menariknya, mercu tanda tersebut direka dengan elemen raket dan shuttlecock yang kelihatan cantik, kreatif dan mempunyai identiti tersendiri.

Pemilihan elemen badminton ini bukan dibuat secara kebetulan. Kampung Besar sebenarnya mempunyai sejarah tersendiri apabila suatu ketika dahulu, Datuk Lee Chong Wei, pemain badminton nombor satu negara, pernah berlatih di sini bersama jurulatihnya Kuak Chin Heng, 54, yang juga penduduk Kampung Besar semasa masih kanak-kanak.

Dulu Datuk Lee Chong Wei (tengah) pernah berlatih di kampung ini bersama jurulatihnya Kuak Chin Heng (kiri).

Tidak hairanlah simbol sukan itu dijadikan lambang kebanggaan kampung, sekali gus menghidupkan semula cerita lama yang mungkin tidak ramai mengetahuinya.

Dulu Dianggap Perkara Kecil, Kini Jadi Perubahan Besar

Keseluruhan pakej projek yang siap dilaksanakan ini bukan sekadar menaik taraf infrastruktur, tetapi turut memberi nafas baharu kepada kehidupan penduduk Kampung Besar dan Kampung Baru Alma.

Apa yang dulunya dianggap perkara kecil, kini menjadi perubahan besar yang dirasai setiap hari oleh penduduk kampung.

Wajah-wajah ceria penduduk kampung yang kini menikmati perubahan hasil Projek KAM.

Lebih daripada itu, Projek Kampung Angkat MADANI membuktikan bahawa masih banyak kampung di luar sana yang berdepan pelbagai masalah asas dan memerlukan perhatian. Melalui projek sebegini, suara penduduk akhirnya didengari dan keperluan mereka diangkat demi keselesaan hidup yang lebih baik.

Penduduk setempat berharap agar inisiatif seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa hadapan, supaya lebih banyak kampung terpilih dapat menikmati perubahan dan pembangunan yang seimbang.






Source link

OR

Scroll to Top