Montreal: Sembilan orang terbunuh di bahagian terpencil di barat Kanada, termasuk tujuh yang ditembak di sekolah menengah dan dua yang lain ditemui mati di sebuah kediaman, kata polis persekutuan.
Seorang individu yang dipercayai bertanggungjawab atas pembunuhan di Tumbler Ridge, British Columbia itu turut ditemui mati, dengan apa yang kelihatan seperti kecederaan disengajakan sendiri, menurut Polis Berkuda Diraja Kanada (RCMP).
RCMP dalam kenyataan turut memaklumkan 27 orang cedera termasuk dua parah akibat insiden itu.
Sebelum itu, amaran dikeluarkan mengenai seorang penembak aktif di Sekolah Menengah Tumbler Ridge pada petang Selasa.
Pihak berkuasa menggeledah sekolah itu dan pada mulanya menemui enam orang, tidak termasuk suspek, yang telah ditembak mati.
Individu ketujuh yang ditembak di sekolah itu meninggal dunia ketika dibawa ke hospital.
“Polis mengenal pasti lokasi sekunder yang dipercayai berkaitan dengan kejadian itu, yang mana dua mangsa tambahan ditemui mati di sebuah kediaman,” kata kenyataan itu.
Media Kanada melaporkan bahawa penembak adalah wanita tetapi kenyataan RCMP tidak memasukkan sebarang butiran mengenai suspek.
“Ini adalah situasi yang berlangsung pantas dan dinamik, dan kerjasama pantas daripada pihak sekolah, responden pertama dan komuniti memainkan peranan penting dalam tindak balas kami,” kata komander daerah utara RCMP, Ken Floyd.
Tambahnya lagi, ia juga hari yang sangat sukar dan emosional buat komuniti.
Tumbler Ridge terletak lebih 1,100 kilometer di utara Vancouver, bandar terbesar di British Columbia.
© New Straits Times Press (M) Bhd






