Penyanyi terkenal, Misha Omar, mengambil pendirian tegas untuk tidak menggunakan ‘kabel’ demi memudahkan laluan kerjaya anak sulungnya, Muhammad Adam Emir, 20, yang kini sedang melalui proses temuduga bergelar pramugara.
Menurut Misha atau nama sebenarnya Samihah @ Aisah Omar, 44, dia dan suami yang juga juruterbang, Firos Ezzwan, sepakat mahu Adam melalui proses sama seperti calon lain tanpa sebarang keistimewaan.
“Ketika saya bawa Adam ke sesi temu duga beberapa hari lalu, ada calon yang bertanya kenapa kami tidak gunakan ‘kabel’ sedangkan suami saya juruterbang.
“Kami memang tidak mahu. Bapanya sendiri mahu Adam rasa bagaimana peritnya hadir temu duga. Biar dia beratur bersama ratusan calon lain dan lalui pengalaman itu sendiri,” katanya.
Misha berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran video muzik single terbaharunya, I Don’t Love You Anymore (IDLYA), pada Selasa.

Mengulas lanjut, pelantun lagu Break itu meluahkan rasa bangga apabila Adam tidak patah semangat meskipun gagal pada sesi temu duga pertama disebabkan faktor berat badan.
“Adam tidak kecewa. Sekarang dia dalam fasa mencabar diri untuk capai berat badan ideal.
“Dalam tempoh tiga hari sahaja menjaga pemakanan, dia sudah berjaya turunkan hampir tiga kilogram, daripada 80 kilogram kepada 77.2 kilogram,” ujarnya.
Dalam masa sama, Misha mengakui pada awalnya dia tidak menyangka anaknya berminat untuk mencuba nasib sebagai pramugara.
Namun sebagai ibu, dia sentiasa menyokong apa sahaja pilihan yang dibuat.
“Sebagai ibu, saya akan sentiasa sokong apa sahaja pilihannya. Cuma kalau boleh, saya mahu dia pilih sesuatu yang mampu bertahan lama.
“Tapi saya seronok melihat kesungguhan dia. Insya-Allah, dia akan cuba lagi untuk sesi temu duga seterusnya,” katanya.






