Pendakwah bebas, PU Syed tampil memberikan teguran secara terbuka terhadap seorang pelakon wanita susulan tindakannya yang memilih untuk tidak lagi berhijab.
Tegur pelakon buka hijab

Menerusi perkongsian di Instagram, PU Syed menyentuh isu kewajipan menutup aurat yang menurutnya tidak boleh dipandang ringan walaupun seseorang itu menjaga ibadah lain seperti solat.
“Kalau ayah faham, kita tinggalkan tudung, tapi solat jaga. Alhamdulillah. Syukurlah Allah, satu tanggungjawab itu kita sempurna dengan jaga ibadah solat,” kata PU Syed.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa perbuatan mendedahkan aurat dengan menanggalkan tudung tetap merupakan satu perkara yang haram di sisi agama.
“Tapi dengan kita mencabut tudung, mendedahkan aurat itu satu perbuatan yang haram yang sepatutnya kita sendiri kena faham. Bukan perlu orang lain faham.
“Kita sendiri perlu tahu bahawa kefarduan yang telah ditetapkan kepada seorang Muslim yang telah akil baligh, mesti mereka menutup aurat.
“Jadi, sanggupkah kita menanggung dosa sepanjang masa kita dedahkan aurat tersebut, dilihat oleh orang. Dan kita rasa tak bersalah kepada Allah SWT,” jelasnya.
Dalam pada itu, dia juga turut menyuarakan kebimbangan sekiranya tindakan sedemikian datang daripada individu berpengaruh seperti artis atau pempengaruh media sosial mampu memberi pengaruh negatif kepada orang awam.

“Jika artis atau pempengaruh yang bertindak seperti ini, saya risau akan menyebabkan mereka bakal mempengaruhi pengikutnya yang lain,” tegasnya.
Sementara itu, dia turut menasihatkan pelakon berkenaan agar mengutamakan perintah dan larangan Allah SWT dalam setiap aspek kehidupan.
“Kepada adik ini, tolonglah faham situasi yang mana perlu kita utamakan. Iaitu salah satu, kita utamakan perintah dan larangan Allah SWT dalam hidup kita. Itulah syarat seorang Islam.
“Dan kita ni kena sabar dalam melaksanakan ibadah. Sabar ini bukan sabar kalau kena uji oleh Allah. Tapi salah satu sabar dalam melaksanakan perintah Allah. Kena sabar,” terangnya.
Juara Pencetus Ummah musim ke 3 itu turut mengajak umat Islam agar memperbanyakkan doa supaya terus diberi kekuatan untuk mematuhi segala kefarduan yang telah ditetapkan.
“Kena banyak berdoa kepada Allah SWT agar Allah menjaga kita dan semua rakyat Malaysia. Dan berfahaman dengan fahaman yang baik iaitu kefarduan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada kita ini tidak ada yang boleh kita cuaikan,” jelasnya.

Tambah beliau, kewajipan tersebut hanya gugur dalam keadaan tertentu seperti individu yang tidak berakal atau belum baligh.
“Kecuali kalau kita berada pada satu fasa yang lain. Contohnya fasa yang mana kita gila ataupun kita ni tidak baligh lagi. Dan sebaliknya, jika kita tidak sebegitu, maka kefarduan kepada kita,” kongsinya lagi.
Artikel lain: PU Syed tegur anak artis baju terdedah, yakin jika ibu kandung masih ada pasti aurat terjaga
Terdahulu, aktres berkenaan memaklumkan bahawa dia sudah berterus terang kepada ahli keluarganya berhubung keputusan untuk menanggalkan tudung dan bapanya menasihati supaya tidak meninggalkan solat.
Sumber: Instagram pusyed_official






