DATUK Seri Megat Shahriman Zaharudin menyeru ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya berani melakukan perubahan pada Kongres Pemilihan badan induk itu demi masa depan bola sepak negara.
Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) itu yang menawarkan diri bagi jawatan Presiden FAM berkata badan induk berkenaan memerlukan pembaharuan menyeluruh demi mengembalikan kepercayaan peminat, pemain dan pihak berkepentingan industri bola sepak tempatan.
Beliau berkata dalam keadaan masih terdapat ahli gabungan yang mungkin memerlukan lebih masa untuk menilai agenda perubahan secara menyeluruh, pendekatan rakan strategik berklausa boleh dipertimbangkan sebagai alternatif yang lebih tersusun dan inklusif.
“Kepada ahli gabungan, tanya diri anda sendiri apa yang anda mahu sebenarnya? Jika anda ada undi dan hak tetapi tidak boleh buat perubahan dan impak, carilah rakan strategik yang boleh betul-betul membawa reformasi, dengar rancangan mereka, saya rasa ia bukan perkara yang susah.
“Saya harap orang yang boleh mengundi dan ada kuasa boleh bekerja dengan orang yang boleh membawa perubahan dan menaikkan aspirasi mereka yang tidak terbawa sebelum ini,” katanya.
Megat Shahriman berkata pendekatan rakan strategik membolehkan proses penambahbaikan dilaksanakan secara berperingkat dan konsisten, di samping memastikan kepimpinan yang dipilih terus berpandukan mandat serta kepercayaan ahli gabungan.
Sementara itu, beliau berkata keputusannya menawarkan diri bertanding jawatan nombor satu dalam badan induk bola sepak itu kerana yakin mampu menyumbang kepada perubahan.
“Apa yang mendorong saya hanyalah keyakinan bahawa dengan pengalaman dan komitmen yang saya ada, saya boleh menyumbang ke arah penambahbaikan dan pengukuhan tadbir urus FAM, jika diberi mandat,” katanya.
Pada Isnin lalu, Megat Shahriman sekali lagi menyatakan minat untuk bertanding merebut jawatan Presiden FAM susulan peletakan jawatan beramai-ramai Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM, hujung bulan lalu.
Ahli Lembaga Pengurus International Federation of Cerebral Palsy Football (IFCPF) itu pernah menyuarakan hasrat bertanding jawatan Presiden FAM pada Kongres Pemilihan tahun lepas, namun membatalkan hasratnya itu disebabkan kekangan masa.
Menurut Statut FAM, calon Presiden mesti mendapat sekurang-kurangnya enam pencalonan daripada ahli gabungan untuk layak bertanding.
Sebagai rekod, bulan lalu kesemua Exco FAM bagi penggal 2025-2029 meletak jawatan secara kolektif dan sukarela berkuat kuasa serta-merta sebagai langkah berprinsip dan berhemah susulan krisis yang melanda, bagi melindungi integriti FAM serta mengutamakan tanggungjawab organisasi tanpa kepentingan peribadi.
Krisis dalam FAM bermula pada September tahun lepas selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan FAM dan tujuh pemain – Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Manchuca, Jodo Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel – didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).
Tarikh Kongres Pemilihan FAM masih belum dimuktamadkan, namun ia dijangka diadakan selepas proses penilaian yang sedang dilaksanakan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selesai sepenuhnya. – Bernama
Ringkasan AI
- DATUK Seri Megat Shahriman Zaharudin menyeru perubahan dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia untuk masa depan bola sepak negara
- Megat Shahriman menawarkan diri sebagai Presiden FAM untuk membawa pembaharuan
- Beliau mencadangkan pendekatan rakan strategik untuk proses penambahbaikan yang berperingkat
- Megat Shahriman memiliki keyakinan pengalaman dan komitmennya dapat menyumbang kepada penambahbaikan FAM
- Krisis dalam FAM berlaku selepas FIFA mendapati FAM dan tujuh pemain melanggar kod tatatertib, menyebabkan keseluruhan Exco FAM meletak jawatan






