am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Kurang 24 jam polis berjaya menahan suspek yang dikaitkan dengan kes pembunuhan kejam terhadap wanita yang mayatnya dikerat tujuh bahagian dan dibuang di beberapa lokasi di Taman Indah Permai, di sini, hari ini.
Lelaki berusia lingkungan 70-an itu ditahan sekitar daerah ini kira-kira 5 petang dalam operasi membabitkan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu bersama Bukit Aman; Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Bantuan Teknikal D8 JSJ IPK dan Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Luyang.
Difahamkan, suspek dikenal pasti hasil petunjuk daripada mayat mangsa selepas penemuan kepala dan badan, susulan daripada penemuan awal tangan dan kaki mangsa di dalam tong sampah.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.
“Suspek lelaki tempatan berusia 70-an berjaya dikesan dan ditahan. Setakat ini motif kejadian dipercayai cemburu. Dengan tertangkapnya suspek utama ini, kes dianggap berjaya diselesaikan.
“Bagaimanapun siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Difahamkan, suspek kini ditempatkan di hospital bagi menjalani pemeriksaan lanjut sebelum proses reman dijalankan.
Terdahulu, mayat wanita lingkungan 40-an ditemui dalam keadaan anggota badannya dikerat dan dibuang secara berasingan di tempat pembuangan sampah sekitar Taman Indah Permai, pagi tadi.
Penemuan awal membabitkan kaki dan tangan berhampiran tempat letak kereta bersebelahan sebuah pasar raya pada 6.30 pagi. Anggota badan itu ditemui oleh pekerja lori sampah yang kemudian memaklumkan kepada polis.
Pencarian lanjut dilakukan polis dengan bantuan pekerja lori sampah yang membawa kepada penemuan kepala serta badan mangsa pada 11.40 pagi di satu lagi lokasi pembuangan sampah berhampiran pasar raya itu.
Berita Berkaitan
- Gempar jumpa mayat dikerat beberapa bahagian
- Tangan, kaki dalam tong sampah, polis cuba kesan anggota lain
- Mayat dikerat: Polis sudah temukan kepala, badan
- 2 anggota badan belum jumpa, polis syak mangsa dibunuh di lokasi lain
© New Straits Times Press (M) Bhd






