Dengar udang, ketam ‘bercakap’ dari kapal selam Ouessant

Dengar udang, ketam ‘bercakap’ dari kapal selam Ouessant

Dengar udang, ketam ‘bercakap’ dari kapal selam Ouessant


DENGAR udang dan ketam ‘bercakap’? Ya, itu pengalaman unik saya lalui sewaktu mengikuti pelayaran bersama kru Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di dalam kapal selam Ouessant di Lautan Atlantik pada 2007.

Mereka menjalani latihan dari 2005 hingga 2009 di dalam Ouessant bersama tentera laut Perancis sebelum TLDM menerima dua kapal selam kelas Scorpene. Ouessant yang dihasilkan di Limbungan Kapal Tentera Cherbourg, Perancis pada 1976 ditauliahkan 27 Julai 1978.

Selepas 19 tahun berlalu, saya berpeluang ‘belayar’ semula dengan Ouessant, baru-baru ini. Bagaimanapun, bukan lagi di laut sebaliknya di darat! Ia kini dijadikan Muzium Kapal Selam yang terletak di Klebang, Melaka.

Sebaik sahaja memasuki halaman muzium, nah di depan saya, tersergam Ouessant begitu besar dan gagah dengan panjang 67.6 meter dan lebar 6.8 meter. Sebelum ini saya hanya mampu melihat separuh Ouessant ketika berlabuh di dermaga di Brest, Perancis kerana bahagian badan selebihnya berada di dalam air.

PENGEMUDI mengekalkan haluan dan kedalaman dengan stereng mengikut arahan pegawai dek yang meneropong melalui periskop.

Saya masih ingat, semasa belayar di permukaan, reka bentuk hidrodinamik membuatkannya membuai ke kiri dan kanan akibat dipukul ombak. Saya yang tidak sampai 20 minit berada dalam perut kapal selam terus mabuk laut, nyaris muntah. Namun, apabila seluruh badannya memasuki air, ternyata ia stabil, tenang, seperti berada dalam bangunan.

Kunjungan ke Muzium Kapal Selam bermula dari bahagian depan di mana terletaknya ruang torpedo. Dapat dilihat suasana terhad dan sempit menyebabkan setiap ruang yang ada dimanfaatkan semaksimum mungkin untuk pelbagai kegunaan. Ada kru tidur di kawasan ini di mana peluru torpedo betul-betul berada di bawah katil mereka!

Seterusnya saya ke bilik kawalan yang mengandungi sistem navigasi, paparan sonar, periskop dan sistem kawalan tembakan. Kawasan ini merupakan ruang utama dalam operasi yang memantau dan mengumpulkan pelbagai maklumat.

TEMPAT tidur krew berada di atas peluru torpedo.

Dalam erti kata lain, ia berfungsi seperti ‘otak’ yang mana pegawai pemerintah (CO) membuat keputusan kritikal dan pantas berdasarkan maklum balas pasukannya. Pada dinding masih kelihatan nota-nota terjemahan dari bahasa Melayu ke bahasa Perancis kerana krew kita dilatih oleh tentera laut negara berkenaan. Antaranya un (satu), deux (dua), trois (tiga), dix (sepuluh), cent (seratus) dan mille (seribu).

Juga ada ruang pengemudi pada bahagian depan bilik kawalan yang mengawal arah, kedalaman dan sudut pergerakan kapal selam. Krew akan mengekalkan haluan dan kedalaman dengan stereng mengikut arahan pegawai dek yang meneropong melalui periskop.

Sonarman yang memperdengarkan kepada saya bunyi hidupan laut juga duduk di bilik kawalan. Sememangnya tugas sonarman amat penting kerana dialah mata dan telinga berikutan kapal selam ‘buta’ dan ‘pekak’ di bawah permukaan laut.

Kapal selam bergantung sepenuhnya kepada bunyi sekeliling melalui radar sama ada mengelak sebarang halangan mahupun mengesan kehadiran kapal musuh. Setiap kapal mempunyai jenis dan jumlah kipas berlainan lalu menghasilkan bunyi berbeza-beza. Perbezaan sebeginilah yang membolehkan identiti sesebuah kapal dapat dikenal pasti.

Ia umpama cap jari sesebuah kapal dan musuh boleh mengambil kesempatan dengan keupayaannya yang ada. Tidak hairanlah dalam majlis pelancaran kapal perang baharu, kipasnya ditutup daripada pandangan umum bagi mengelak musuh menganalisis kelebihan atau kekurangannya.

Saya seterusnya menyusuri laluan panjang dan sempit yang hanya mampu dilalui oleh satu sosok badan jika bertembung. Berjalan di situ seperti berada di dalam terowong. Di atas kepala saya menjalar kabel, paip yang terikat kemas pada siling.

SEORANG pengunjung melakonkan cara bersolat di ruangan sempit di dalam kapal selam.

Di sebelah kanan terdapat bilik kapten (CO) yang kecil tetapi lengkap dengan katil, meja dan kabinet untuk privasi. Bersebelahan bilik CO ialah mes untuk makan dan bersantai, dilengkapi katil tiga tingkat yang boleh dilipat. Di atas katil ini jugalah kru kapal selam melaksanakan kewajiban beribadah.

Kapal selam turut mempunyai galei (dapur). Semasa belayar, saya berpeluang mencuba hidangan istimewa iaitu nasi ayam dengan ramuan Barat, rasanya tetap lazat.

Terdapat dua tandas, satu untuk buang air kecil dan satu lagi untuk buang air besar. Kru tidak dibenarkan pam selepas menunaikan hajat bagi mengelak bunyi bising atau tekanan udara yang boleh merosakkan kapal selam, manakala cecair berwarna biru membantu menghilangkan bau.

PENULIS (kiri) belayar bersama sebahagian krew Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di dalam Ouessant pada 2007.

Bekalan air sangat terhad, kebanyakan kru tidak dibenarkan mandi sepanjang pelayaran 12 hari, hanya mencuci muka, kecuali tukang masak dan kru bilik enjin yang dibenarkan mandi sekali setiap tiga hari.

Semasa menyelam di kedalaman 300 meter, saya diberi air laut dari paras itu untuk diminum, pengalaman yang menjadi tradisi bagi kru pertama kali.

Sayangnya, pengalaman menarik ini tidak dikongsi kepada pengunjung Muzium Kapal Selam. Sekiranya ada pemandu atau rakaman audio atau video, lawatan pasti lebih informatif dan menyeronokkan. Bagi saya, lawatan ke muzium ini menawarkan pengalaman unik tentang kehidupan kru di ruang sempit bawah laut, berbaloi dengan tiket RM10.





Source link

OR

Scroll to Top