Pelakon Daler Yusuf tampil menjelaskan keadaan sebenar susulan kecaman hebat netizen terhadapnya berhubung isu melibatkan aktres Puteri Balqis.
Memetik laporan mStar, pemilik nama Daler Yusuf Khamrokulov Muhammad, 34, berkata dia sudah menghubungi Balqis secara peribadi bagi meminta maaf demi mengelakkan perkara itu berlarutan bertambah panjang.
Niat hanya untuk menegur

“Saya ada mesej dia. Memang betul-betul minta maaf kalau buat dia marah. Selepas itu saya padam hantaran yang dibuat di Threads.
“Untuk makluman, saya memang sokong apa yang dia (Puteri Balqis) lakukan itu iaitu bersuara untuk diri sendiri berkenaan buli semasa dia kecil.
“Saya memang seorang yang anti buli dan memang tidak suka tengok sesiapa dibuli, dikecam dan sebagainya,” kata Daler, pada Khamis.
Mengulas lanjut mengenai hantaran yang dimuat naik sebelum ini, Daler menjelaskan niat sebenar perkongsiannya adalah untuk menegur bapa tiri serta tunang aktres berkenaan, bukan ditujukan kepada Balqis.

“Hantaran saya itu adalah berniat untuk tegur yang lelaki tidak tidak boleh kurang ajar dengan perempuan walau apa sahaja.
“Saya okay sahaja kalau dia nak pertahankan isteri atau tunang, saya memang tidak mempunyai masalah. Tapi dalam Islam terumatanya lelaki, kita kena jaga mulut walau sejahat mana perempuan itu.
“Apa yang saya tengok di InstaStory itu, nampak macam dia sangat biadap. Menuduh tanpa bukti terhadap perempuan yang masih muda lagi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Daler turut meluahkan rasa kurang senang apabila isu tersebut turut mengheret ahli keluarganya menjadi sasaran kecaman.

“Saya rasa memang tidak boleh terima apabila isu berkenaan melibatkan ahli keluarga. Tak kisahlah kecam saya, tapi jangan keluarga.
“Bila saya baca orang kecam, buatkan saya ‘down’ sampaikan saya muat naik gambar anak perempuan untuk ucap selamat hari lahir pun dikecam,” tambahnya lagi.
Artikel lain: “Jangan sentuh anak-anak aku!”- Daler Yusuf terkilan, netizen tinggalkan komen biadab
Terdahulu, nama Puteri Balqis atau Aqish menjadi perhatian ramai selepas timbul dakwaan berlaku perselisihan faham antara dirinya dan pelakon Mia Sara Nasuha.
Aqish mendakwa Mia pernah menghina ibunya sehingga menjejaskan kesihatan mental wanita itu. Isu tersebut turut mendapat respons terbuka daripada bapa tiri serta tunang Aqish yang lantang mempertahankan dirinya.
Susulan perkembangan itu, Daler mengeluarkan kenyataan yang menurutnya bertujuan menegur kedua-dua individu terbabit kerana didakwa menggunakan bahasa kasar terhadap seorang gadis muda.
Sumber: mStar (Nazrin Zulkafly)






