Nampak mudah tapi ada laluan getir

Nampak mudah tapi ada laluan getir


am@hmetro.com.my

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa tahu. Begitulah gambaran buat seorang ‘content creator’, Farihin Arnia yang menempa nama sejak 2018 menerusi platform Instagram, tetapi kini semakin serius mengukuhkan kerjaya seninya sebagai pelakon.

Berkongsi perasaannya, Muhd Farihin Daniel Rodih, 26, menyifatkan peluang yang hadir sebagai satu pencapaian peribadi paling bermakna kerana bidang lakonan adalah impian yang dipendam sejak mula menceburi dunia kandungan digital.

“Perasaan saya sangat gembira. Ini memang impian saya sejak awal lagi. Sebenarnya, tujuan utama saya menghasilkan kandungan di media sosial adalah untuk mempamerkan bakat yang ada.

“Di Sabah, agak sukar untuk saya mengembangkan bakat seni. Disebabkan itu, saya mengambil inisiatif berlakon dan buat ‘content’ di TikTok,” katanya.

Langkah beraninya berhijrah ke ibu kota bersama rakan seperjuangan, Ryan Bakery dan rakan-rakan lain di bawah pengurusan yang sistematik ternyata membuahkan hasil sehingga mampu melangkah sejauh ini.

Bagaimanapun, dia tidak menafikan untuk mengubah perjalanan seninya daripada pencipta kandungan kepada pelakon bukan mudah.

“Transisi untuk mengubah persepsi daripada seorang ‘content creator’ kepada pelakon masih dalam proses dan sejujurnya ia sangat susah untuk dilakukan,” katanya.

Berkat kreativiti mengolah skrip pendek menjadi sebuah karya lengkap, Farihin, kini bergelar penyanyi apabila lagu ciptaannya dipilih sebagai runut bunyi (OST) bagi drama siri terbaharunya iaitu Kelas Belakang.

Menurutnya, segalanya bermula secara tidak sengaja apabila watak Johan yang dilakonkannya memerlukannya memiliki lagu sendiri dalam satu episod.

“Saya kena buat lagu itu dan saya bagi pengarah iaitu Nurhanisham Muhammad yang dikenali sebagai Abang Labu untuk dengar lagu itu. Bila saya menyanyi, dia terkejut sebab lagu itu jadi panjang sedangkan dalam skrip sangat pendek.

“Abang Labu puji lagu itu ‘best’, tapi untuk episod tersebut, dia minta saya nyanyi sikit saja. Saya ingatkan setakat itu sajalah, malah babak penuh nyanyian itu pun tak dirakam.

“Bila orang sudah beri peluang dan kepercayaan untuk saya menyanyi sendiri lagu itu, saya buatlah sehabis baik,” katanya.

Mengulas lanjut proses kreatif lagu berkenaan, Farihin mendedahkan dia sebenarnya tidak mempunyai pengalaman asas dalam menghasilkan karya muzik sebelum ini.

“Ini adalah kali pertama saya menulis lagu dan menyanyi. Sebenarnya, dalam skrip asal memang sudah disediakan lirik, tetapi ia bukanlah dalam bentuk lagu ‘rap’.

“Lirik asal itu hanyalah barisan kata-kata luahan hati untuk watak Johan sahaja. Namun, saya mengambil inisiatif untuk mengolahnya semula mengikut kreativiti sendiri sehingga terhasilnya lagu tersebut,” katanya.

Jika diberi peluang untuk terus merakamkan lagu pada masa hadapan, Farihin menyatakan keinginannya untuk kekal konsisten dengan genre rap berbanding genre muzik yang lain.

“Untuk sekarang, saya rasa saya akan kekal dengan genre ‘rap’. Saya memang sangat suka menulis lirik yang mempunyai unsur puitis seperti mana cara Johan menulis dalam cerita ini.

“Jiwa saya memang lebih dekat dengan gaya penulisan sebegitu, jadi saya rasa lebih selesa untuk terus berkarya dalam genre ini buat masa sekarang,” katanya.

Di sebalik kejayaan memahat nama sebagai pelakon dan kini penyanyi, Farihin, tidak terlepas daripada pandangan serong segelintir pihak yang menyifatkan perjalanannya dalam industri seni sebagai ‘laluan mudah’.

Sedar tanggapan itu, Farihin menyifatkan setiap kritikan yang diterima sebagai pembakar semangat untuk terus membuktikan keupayaan diri.

“Saya sebenarnya terima sahaja pendapat orang. Bagi saya, itu adalah kritikan yang membina. Kalau ada yang kata ini jalan mudah untuk saya, hakikatnya mereka tak nampak ‘struggle’ yang saya lalui sebelum ini.

“Namun, jika ada yang terus berkata begitu, saya terima dengan hati terbuka. Apa yang dikecapi hari ini adalah rezeki demi kelangsungan hidup dalam mengejar impian.

“Rezeki ada di mana-mana. Apa yang saya lakukan ini juga adalah untuk kelangsungan hidup. Saya tak mahu terlalu memikirkan kata-kata negatif, sebaliknya fokus kepada peluang yang ada di depan mata,” kongsinya.

Farihin menyifatkan segala pencapaiannya adalah hasil sokongan daripada keluarga, pengurusan dan rakan-rakan seperjuangan.

“Saya ingin dedikasi pencapaian kepada kawan-kawan, pihak pengurusan dan keluarga.

“Ryan terutamanya yang memberikan pendedahan sangat besar kepada saya. Begitu juga dengan rakan-rakan lain seperti Wanchai, Badrul, Munirah, Black dan Adam,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top