KUALA LUMPUR: Keupayaan pemasangan tempatan serta permulaan eksport ke pasaran serantau mengukuhkan peranan Malaysia sebagai pemain penting dalam rantaian nilai kenderaan tenaga baharu (NEV), susulan pengeluaran model MPV mewah plug-in hibrid, WEY G9 Hi4 PHEV.
Sebagai MPV PHEV pertama dari China yang dipasang secara CKD di Malaysia, WEY G9 Hi4 PHEV mencerminkan tahap keyakinan GWM terhadap keupayaan pembuatan tempatan, pemindahan teknologi serta pembangunan rantaian bekalan automotif bernilai tinggi.
Pengarah Urusan GWM Malaysia, Cui Anqi, berkata pengeluaran WEY G9 Hi4 PHEV merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang syarikat dalam memperkukuh ekosistem mobiliti pintar di Malaysia dan rantau ASEAN.
“Model ini menzahirkan hala tuju global GWM dalam teknologi hibrid pintar, keselamatan dan reka bentuk berfokuskan pengguna, di samping menonjolkan peranan Malaysia sebagai pusat pengeluaran dan eksport strategik bagi pasaran serantau,” katanya.
Prestasi hibrid pintar, jarak pemanduan melebihi 1,000km
WEY G9 Hi4 PHEV dipacu oleh sistem hibrid pintar Hi4 yang menggabungkan enjin turbo dengan motor dwi-elektrik, membolehkan pemanduan elektrik pada gandar hadapan dan belakang.
Gabungan itu menghasilkan output sehingga 442 PS dan 642 Nm, membolehkan pecutan 0–100 kilometer sejam dalam 5.7 saat, selain disokong sistem Intelligent Torque Vectoring Control (iTVC) bagi memastikan kestabilan dan keyakinan pemanduan dalam pelbagai keadaan jalan serta cuaca.
Bagi kegunaan harian, sistem Hi4 PHEV membolehkan pemanduan elektrik sepenuhnya sehingga 170 kilometer, manakala jarak pemanduan keseluruhan melebihi 1,000 kilometer.
Penggunaan bahan api turut kekal cekap pada 6.2 liter bagi setiap 100 kilometer, walaupun ketika tahap bateri rendah, hasil pengurusan tenaga pintar dan peralihan lancar antara mod hibrid.
Keselesaan bertaraf kelas pertama
Berdimensi 5,050 milimeter dan jarak roda 3,085 milimeter, WEY G9 Hi4 PHEV menawarkan ruang kabin luas dengan lantai rata serta laluan tengah yang memudahkan pergerakan antara barisan tempat duduk.
Tempat duduk hadapan dilengkapi kemasan kulit Nappa bersama fungsi pengudaraan dan urutan, manakala barisan kedua menampilkan tempat duduk kapten Zero Gravity dengan fungsi rebah satu sentuhan.
Barisan ketiga pula direka untuk keselesaan penumpang dewasa, sesuai untuk kegunaan harian keluarga dan perjalanan jarak jauh.
Tahap kesenyapan kabin turut diberi penekanan, dengan bacaan bunyi hanya 63.4 desibel pada kelajuan 120 kilometer sejam, disokong kaca akustik dua lapisan, penebat berstruktur serta teknologi pembatalan bunyi aktif.
Keselamatan menyeluruh, teknologi pintar
Dari segi keselamatan, WEY G9 Hi4 PHEV dibina menggunakan lebih 83 peratus keluli berkekuatan tinggi, dengan struktur bumbung mampu menahan tekanan sehingga 12 tan.
Beg udara dipasang merangkumi semua barisan tempat duduk, manakala sistem bateri melalui 89 ujian keselamatan sebelum diperakui.
Model itu turut dilengkapi Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) Tahap 2 yang merangkumi lebih 20 ciri keselamatan pintar bagi menyokong pemanduan harian yang lebih selamat dan meyakinkan.
Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, Roslan Abdullah, berkata pemasangan tempatan WEY G9 Hi4 PHEV dan permulaan eksport ke Thailand membuktikan keupayaan Malaysia dalam menyokong pengeluaran automotif berkualiti tinggi.
“Eksport daripada pemasangan tempatan ini mencerminkan keyakinan kami terhadap keupayaan industri automotif Malaysia, khususnya dalam aspek pemindahan teknologi dan pembangunan kenderaan tenaga baharu,” katanya.
Menurut beliau, peranan Malaysia sebagai hab pemasangan strategik membolehkan GWM membekalkan produk NEV berteknologi canggih ke pasaran negara jiran, di samping memperkukuh integrasi rantaian bekalan serantau.
“Pengeluaran secara CKD ini turut menyokong pembangunan vendor tempatan serta mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi, selari dengan perancangan jangka panjang GWM di Malaysia,” ujarnya.
WEY G9 Hi4 PHEV ditawarkan pada harga RM269,800, lengkap dengan pakej pemilikan komprehensif termasuk penyelenggaraan percuma, perkhidmatan data sambungan, pengecas dinding rumah serta perlindungan waranti sehingga lapan tahun atau 180,000 kilometer bagi sistem hibrid.
Dengan gabungan teknologi Hi4 PHEV, keselesaan premium dan pemasangan tempatan, WEY G9 Hi4 PHEV terus mengukuhkan aspirasi Malaysia sebagai pusat automotif NEV serantau.
© New Straits Times Press (M) Bhd





