am@hmetro.com.my
Besut: Pengunjung di Pusat Rekreasi Pantai Air Tawar, di sini, terkejut apabila menemui bangkai tujuh kucing bergelimpangan disyaki diracun.
Pekerja kebersihan, Mazewin Mohamad, 45, berkata, seorang pengunjung yang berjoging di kawasan itu memaklumkan kejadian berkenaan kepadanya.
Katanya, ketika itu dia bersama beberapa pekerja lain sedang melakukan kerja pembersihan di pusat rekreasi terbabit.
“Saya percaya kejadian tidak bertanggungjawab itu berlaku pada Jumaat kerana kami tidak bekerja pada hari kejadian.
“Apabila kami datang bekerja pada pagi Sabtu, pengunjung yang berada di situ memaklumkan kejadian berkenaan kepada kami sebelum kerja pembersihan dilakukan di kawasan terbabit,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Menurutnya, tindakan berkenaan tidak wajar dilakukan kerana menganiayai haiwan.
“Sebelum ini banyak kucing berkeliaran di kawasan ini hingga ada pihak yang mengambil inisiatif menyediakan makanan untuk diagihkan kepada haiwan berkenaan.
“Kami terkilan apabila berlaku kejadian seperti ini kerana haiwan itu tidak mengganggu orang ramai yang berkunjung ke sini.
“Sebelum ini ada kucing mati digigit anjing liar dan ada kesan kecederaan pada badan kucing namun bangkai kucing yang ditemui tidak ada sebarang kecederaan luaran,” katanya.
Sementara itu, rakannya, Noriza Husin, 40, berkata, kejadian sama turut berlaku sehari sebelum penemuan bangkai terbabit apabila lima kucing termasuk anak kucing ditemui mati di kawasan berkenaan.
Katanya, mereka segera membersihkan kawasan itu kerana bau bangkai kucing yang busuk mengganggu ketenteraman pengunjung beriadah.
“Jabatan Perkhidmatan Veterinar sudah datang ke lokasi untuk membuat siasatan selepas tular video berkenaan di media sosial,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 55 saat berhubung penemuan tujuh bangkai kucing yang dikumpulkan dan diletakkan di laluan pejalan kaki bersebelahan Pusat Rekreasi Pantai Air Tawar.
© New Straits Times Press (M) Bhd






