Entah kenapa minggu ini, cerita yang sampai ke telinga Cik Bunga agak membuatkan dahi berkerut lama. Bukan kisah biasa-biasa, tetapi gosip tentang seorang pelakon wanita cantik ini. Cantiknya dia, jenis yang orang pandang sekali pun sudah cukup untuk jatuh hati.
Wajahnya manis, penampilannya sentiasa terjaga, dan bakat lakonannya pun tidak boleh dinafikan. Pendek kata, dia bukan calang-calang wanita. Lelaki bujang? Cik Bunga yakin, berbaris panjang menunggu giliran.Namun, itulah yang menghairankan.
Menurut cerita yang berlegar, pelakon ini dikatakan gemar bertukar-tukar pasangan, dan yang paling mengejutkan, hubungan terbaharunya dikaitkan dengan seorang lelaki berstatus suami orang. Bukan tersilap sangka, bukan juga tertipu, tetapi dia tahu lelaki itu sudah beristeri. Namun, tetap memilih untuk mencuba nasib. Di situ Cik Bunga terdiam. Bukankah pelik?
Orang secantik dan sepopular itu, masakan tiada pilihan lain? Ada yang berbisik, mungkin kerana ego, dia ingin membuktikan diri masih menjadi rebutan. Cik Bunga bukan menghukum, sekadar tertanya-tanya.
Cantik itu anugerah, popular itu rezeki. Tapi keputusan yang dibuat dengan sedar tetap ada akibatnya.
Moga jika cerita ini ada benarnya, si empunya diri sempat menarik brek sebelum segalanya musnah.Kerana akhirnya, yang menjadikan seseorang itu benar-benar bernilai bukan rupa semata-mata, tetapi akal, empati, dan rasa hormat terhadap orang lain.






