Penyanyi muda berbakat besar, Iman Darwisy, 15, melancarkan single terbaharu berjudul Kehilangan, sebuah lagu balada yang mengangkat tema kasih sayang dan kerinduan terhadap insan tersayang.
Lagu ini merupakan ciptaan penuh komposer Indonesia, Ilham Baso yang bertindak sebagai komposer, penulis lirik, penerbit dan penyusun muzik, manakala Noorazreen selaku penerbit eksekutif.
Menurut Iman, genre balada sangat dekat dengan dirinya sejak kecil dan membuatkan dia mudah menghayati lagu tersebut.

“Saya memang membesar dengan lagu perlahan, jadi senang untuk saya rasa emosi lagu ini. Sebab itu saya pilih Kehilangan sebagai single baru.
“Saya nak sampaikan penghargaan dan kasih kepada orang yang saya sayang terutama keluarga dan orang terdekat. Bagi saya lagu ini boleh mewakili perasaan ramai,” katanya.
Iman turut menyifatkan Kehilangan sebagai pencapaian istimewa kerana ia single solo keduanya pada usia yang masih muda.
“Saya bersyukur pada umur 15 tahun sudah ada dua lagu sendiri. Semua ini hasil sokongan ibu bapa dan Ilham Baso yang hasilkan lagu yang kena dengan jiwa saya.
“Saya harap lagu ini bawa mesej positif kepada masyarakat,” katanya.
Iman berharap lagu tersebut dapat menjadi pilihan pendengar setiap kali mengingati insan tersayang.
“Saya harap orang boleh kaitkan lagu ini dengan perasaan rindu atau sayang pada seseorang dan gunakan lagu ini untuk meluahkan emosi mereka,” katanya.





