Penyanyi Shiha Zikir tampil dengan karya tradisional sepenuhnya berjudul Minta Ampun, sebuah lagu yang membawa mesej tentang makna sebenar memohon maaf dalam kehidupan harian.
Menurut Shiha, lagu tersebut hadir sebagai teguran halus terhadap kebiasaan masyarakat yang mudah mengucapkan maaf tanpa benar-benar menghayati maksudnya.
“Kita selalu dengar orang minta maaf, tetapi tidak semuanya datang dari hati. Lagu ini sebenarnya sindiran lembut supaya kita lebih jujur apabila meminta maaf,” katanya.

Shiha mengakui peluang menghasilkan lagu tradisional penuh bersama syarikat rakamannya dan Sony Music Malaysia merupakan sesuatu yang sudah lama dinantikan.
Impian itu pernah disuarakan sejak menyertai D’Academy Asia, namun hanya kini menjadi kenyataan apabila menerima lagu ciptaan Hafiz Hamidun dengan lirik Fedtri Yahya.
“Sejak dulu saya memang teringin ada lagu tradisional sendiri. Bila dengar demo lagu ini, saya terus rasa ia sangat kena dengan jiwa saya,” katanya.
Shiha turut meminta agar bahagian tarian dimasukkan supaya persembahan lebih hidup selain berharap mesej keikhlasan dalam memohon maaf dapat difahami pendengar.
“Saya harap pendengar ambil pengajaran. Bila kita minta maaf, buatlah dengan ikhlas kerana ia memberi kesan baik dalam hidup,” ujarnya.
Kerjasama bersama Hafiz Hamidun juga disifatkan mudah kerana kedua-duanya saling memahami kehendak muzik dan gaya vokal.

“Hafiz sangat terbuka dengan pandangan saya sebagai penyanyi. Dia juga banyak membantu dari segi lenggok vokal jadi proses rakaman lebih lancar,” katanya.
Shiha tidak menolak Minta Ampun menjadi permulaan untuk lebih banyak karya tradisional selepas ini kerana genre tersebut dekat di hatinya sejak kecil.
“Saya memang membesar dengan lagu Melayu asli dan ada impian kumpul lagu tradisional dalam satu album. Jadi sekarang masa yang sesuai untuk saya fokus ke arah itu,” katanya.
Shiha berharap lagu ini mudah diingati serta memberi impak positif khususnya kepada generasi muda untuk terus menghargai muzik tradisional.
“Saya mahu orang dengar, hafal dan mungkin nyanyikan lagu ini. Harapnya Gen-Z juga boleh jatuh cinta dengan lagu tradisional kita,” katanya.
Minta Ampun merupakan ciptaan Hafiz Hamidun dengan lirik Fedtri Yahya manakala video muzik diarahkan oleh Shiha bersama Arul.





