Ambulans lewat kerana maklumat lokasi kemalangan tak tepat

Ambulans lewat kerana maklumat lokasi kemalangan tak tepat


am@hmetro.com.my

Ipoh: Dakwaan ambulans lewat tiba di lokasi kemalangan maut di Jelapang di sini pada 10 Februari lalu dikenal pasti berpunca daripada maklumat lokasi yang tidak tepat pada peringkat awal menerusi sistem maklum balas kecemasan.

Kemalangan di Jalan Ipoh–Lumut itu membabitkan sebuah kereta peronda polis (MPV) dan Perodua Kelisa yang meragut nyawa seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun.

Dalam satu kenyataan semalam, Jabatan Kesihatan Negeri Perak memaklumkan pihaknya memandang serius kebimbangan orang ramai yang dibangkitkan di media sosial berhubung masa maklum balas, susulan dakwaan ambulans tiba lewat di lokasi kejadian.

“Pihak jabatan ingin menjelaskan bahawa panggilan kecemasan diterima oleh Pusat Penyelaras Kecemasan Perubatan dan tindakan segera diambil selaras dengan protokol kecemasan yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan berkenaan turut memaklumkan bahawa Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) menerusi Jabatan Kecemasan dan Trauma sudah menggerakkan sebuah ambulans pada jam 3.05 petang sejurus menerima panggilan kecemasan.

“Bagaimanapun, lokasi awal yang diberikan pemanggil adalah di kawasan perumahan sekitar Puncak Jelapang, kira-kira lapan kilometer dari hospital.

“Setibanya ambulans di lokasi yang dimaklumkan, tiada kemalangan seperti dilaporkan ditemui.

“Panggilan susulan kemudian dibuat bagi mengesahkan semula lokasi dan didapati lokasi sebenar adalah di Lebuhraya Ipoh–Lumut menghala ke Jelapang,” kata kenyataan itu.

Jabatan itu memaklumkan ambulans tiba di lokasi sebenar kemalangan pada jam 3.55 petang dan pegawai perubatan segera membuat penilaian terhadap seorang wanita berusia 33 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun.

Menurutnya, wanita berkenaan mengalami kecederaan parah, manakala kanak-kanak itu tidak sedarkan diri dan diberikan rawatan resusitasi di lokasi kejadian sebelum dibawa ke HRPB.

“Kanak-kanak itu menerima resusitasi aktif berterusan sepanjang perjalanan ke hospital. Kemalangan berkenaan meragut nyawa kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun itu,” katanya.

Jabatan itu turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta menegaskan komitmen untuk terus menilai dan memperkukuh sistem maklum balas kecemasan bagi memastikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan kepada orang ramai.

Terdahulu, dilaporkan kejadian berlaku kira-kira jam 3.35 petang membabitkan sebuah Honda Civic milik polis dan sebuah Perodua Kelisa yang bergerak dari arah bertentangan.

Siasatan awal mendapati Perodua Kelisa yang dalam perjalanan dari Jelapang menghala ke Lumut dipercayai tiba-tiba memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta peronda polis berkenaan.

Akibat perlanggaran itu, pemandu kenderaan polis mengalami kecederaan pada kedua-dua kaki, manakala penumpangnya patah bahu kiri serta cedera pada kelopak mata kanan.

Sementara itu, abang mangsa menerusi hantaran di akaun Instagram miliknya, @steven.feb22, meminta individu yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka atau maklumat berhubung kejadian supaya tampil membantu siasatan dan membuat laporan polis.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top