hafizithnin@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Pengukuhan nilai ringgit berpotensi memberi kelegaan kepada pengguna apabila harga barangan import dijangka lebih terkawal, sekali gus membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat.
Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Ekonomi dan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mohamad Idham Md Razak berkata, apabila ringgit mengukuh, kos pembelian barangan dari luar negara menjadi lebih rendah kepada pengimport tempatan.
Jelasnya, situasi itu memberi kesan positif kepada pelbagai sektor termasuk makanan import, bahan mentah industri, ubat-ubatan, komponen elektronik dan barangan pengguna lain yang bergantung kepada pasaran antarabangsa.
“Apabila kos import menurun, peniaga dan pengeluar mempunyai ruang untuk mengurangkan tekanan kos operasi mereka. Ini secara tidak langsung membantu menstabilkan harga barangan di pasaran.
“Kesan penurunan harga tidak berlaku serta-merta kerana kebanyakan perniagaan masih menggunakan stok lama yang dibeli pada kadar pertukaran terdahulu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas potensi penurunan harga barangan import pengguna susulan pengukuhan nilai ringgit yang melonjak ke paras RM3.89 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), tertinggi dalam tempoh hampir lapan tahun.
Mohamad Idham berkata, selain itu, faktor lain seperti kos logistik, kadar sewaan premis dan gaji pekerja yang masih tinggi turut mempengaruhi harga akhir yang dibayar pengguna.
“Bagi tempoh jangka pendek, pengukuhan ringgit lebih berperanan memperlahankan kenaikan harga berbanding menyebabkan penurunan mendadak.
“Namun, dalam jangka sederhana, jika ringgit kekal stabil dan kukuh, pengguna berpotensi menikmati harga lebih terkawal, khususnya bagi barangan import dan produk yang bergantung kepada bahan mentah luar negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






