5 ditahan seleweng baja subsidi

5 ditahan seleweng baja subsidi


am@hmetro.com.my

Tasek Gelugor: Lima lelaki termasuk dua warga asing ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan penyelewengan baja subsidi dalam serbuan menerusi Op Khas Taring Bravo 3 di sebuah kilang, di sini, hari ini.

Serbuan dijalankan melalui Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta Perak, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh, berkata dalam serbuan itu, pihaknya merampas pelbagai mesin dan jentera memproses baja, sebuah lori dan 47,000 kilogram (kg) baja yang keseluruhan bernilai RM771,000.

“Siasatan awal mendapati kilang haram itu sudah beroperasi sejak enam tahun lalu.

“Modus operandi yang digunakan adalah baja-baja sebatian dan kimia bersubsidi yang diperoleh secara tidak sah itu akan diproses semula dengan campuran bahan lain bertujuan meningkatkan kuantiti sebelum dibungkuskan semula dengan bungkusan lain dan dijual dalam pasaran untuk kegunaan tanaman,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, lima individu yang ditahan terdiri daripada tiga warga tempatan berusia 34 hingga 51 tahun, seorang warga Indonesia dan warga Myanmar masing-masing berusia lingkungan 30 hingga 40-an.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati tiga daripadanya positif dadah jenis heroin.

“Mereka disiasat dibawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala dua tangkapan warga asing disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.

“Selain itu, pemilik kilang juga disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI), selain turut dikompaun oleh MBSP kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah,” katanya.

Balveer Singh, berkata kes itu diserahkan kepada KPDN Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top